Rasuah: Penjawat awam perlu jadi pemberi maklumat SPRM

Iklan
AZAM BAKI

KUALA LUMPUR - Penjawat awam perlu menjadi pemberi maklumat atau whistleblower kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mendedahkan isu-isu berkaitan rasuah dan salah guna kuasa di jabatan atau agensi masing-masing, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata, isu integriti dan salah guna kuasa tidak boleh dipandang remeh sebaliknya perlu diberi perhatian serius kerana usaha untuk membaiki budaya negatif dalam sektor awam mesti dilakukan secara dalaman.

Iklan
Iklan

"SPRM menyeru kepada penjawat awam agar 'membuka mata dan telinga' dengan menyalurkan maklumat kepada SPRM kerana mereka lebih mengetahui apa yang berlaku di jabatan atau agensi masing-masing.

"Sekiranya mereka kurang yakin untuk menjadi pengadu, mereka boleh memilih untuk menjadi pemberi maklumat dan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sekiranya dikenakan tindakan tidak wajar oleh ketua jabatan atau pegawai kanan susulan pendedahan yang dibuat kepada SPRM," katanya kepada Bernama.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman bertajuk 'Mendepani Cabaran, Melangkaui Ekspektasi' di Facebook rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam pada Khamis.

Antara amanat Mohd Khairul Adib ialah penjawat awam perlu mengambil tahu tentang perlakuan rasuah di tempat kerja dan mencegah perbuatan rasuah dalam perkhidmatan awam daripada menjadi barah.

Iklan

Azam berkata, amanat Mohd Khairul Adib tepat pada masanya kerana isu penjawat awam terlibat rasuah perlu dilihat dalam skop lebih besar.

"SPRM sedia maklum ramai kakitangan kerajaan terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa berdasarkan rekod dalam tempoh beberapa tahun ini.

"Perkara itu amat membimbangkan dan sudah tiba masanya semua pihak khususnya penjawat awam bekerjasama dengan SPRM," katanya.

Beliau berkata, penjawat awam perlu tampil untuk melaporkan kegiatan rasuah di jabatan masing-masing agar isu ketirisan dan salah guna kuasa dapat ditangani demi kepentingan semua. - Bernama