Astro Kasih sumbang 60 troli pendidikan ke Wad Pediatrik di seluruh negara

Iklan

KUALA LUMPUR – Astro Kasih dengan berbesar hati menyumbangkan 60 biji troli pendidikan yang dilengkapi dengan alat pembelajaran serta buku-buku menarik kepada wad pediatrik di hospital seluruh negara.

Sumbangan itu bertujuan untuk menggembirakan pesakit agar terus bersemangat untuk belajar ketika sedang menerima rawatan.

Iklan
Iklan

Pengarah Komunikasi Astro, Tammy Toh, berkata, pandemik Covid-19 telah memberi impak yang besar terhadap tahap penjagaan pesakit di hospital.

"Pandemik memberi kesan kepada pesakit di wad pediatrik, di mana pergerakan pesakit kanak-kanak di wad ini dibatasi dengan penjarakan fizikal dan sosial.

Iklan

"Sebagai tanggungjawab sosialnya, Astro Kasih beriltizam untuk mendorong anak-anak di wad-wad pediatrik agar terus bersemangat untuk belajar melalui buku-buku dan aktiviti yang menarik,”katanya dalam satu majlis, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Tammy Toh yang mewakili Astro Kasih telah menyampaikan troli pendidikan yang pertama kepada, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, Nur Yasmin Nan Rahimi yang mewakili pengurusan universiti.

Iklan

Setiap sumbangan troli mempunyai set alat tulis, permainan, buku aktiviti kanak-kanak, dan buku cerita yang sebahagiannya disumbangkan oleh kakitangan Astro dan sebahagian lagi ditaja oleh BookXcess dan Faber Castell.

Selain itu, IDC Global Holdings Sdn Bhd (Virochem) turut menaja Dispenser Air Cahaya UV Panas dan Dingin untuk beberapa hospital terpilih di sekitar kawasan Lembah Klang.

Tammy Toh berkata, sempena usia 25 tahun Astro pada tahun ini, pihaknya ingin memberi penghormatan kepada rakyat Malaysia dan pelanggan yang telah menyokong setia perjalanan kami.

"Pelanggan Astro adalah rakan kami, jadi kami berharap sumbangan troli pendidikan ini dapat mencetuskan kebahagiaan dan memberi semangat kepada anak-anak ketika menerima rawatan di wad pada masa yang mencabar ini." Katanya.

Sementara itu, Nur Yasmin berkata, pihak pengurusan Hospital Canselor Tuanku Muhriz mengucapkan ribuan terima kasih kepada Astro atas sumbangan mereka kepada anak-anak di wad pediatrik.

"Anak-anak sedang melalui fasa yang sukar bagi mereka dengan berada jauh dari sekolah, jadi sumbangan ini pasti akan membuat anak-anak lebih teruja dan boleh mendorong mereka untuk cepat sembuh.”katanya.

Program ‘Astro Kasih Bersama Wad Pediatrik’ ini juga menyaksikan pemasangan sistem pembelajaran Kampus Astro secara percuma yang diadakan di Wad Pediatrik dan Onkologi Kanak-kanak di hospital di seluruh negara.

Yayasan Astro Kasih adalah yayasan tanggungjawab sosial korporat di bawah Astro Malaysia yang misinya adalah untuk mengembangkan projek-projek yang memberi impak inovatif yang mampu merubah hidup komuniti dan masyarakat demi meningkatkan kualiti hidup dan hasil sosio-ekonomi.