CUCUTA - COLOMBIA. Beberapa buah lori membawa bantuan kemanusiaan dari Amerika Syarikat (AS) untuk dihantar ke Venezuela dilaporkan sampai di sempadan Colombia, semalam.
Kenderaan yang membawa makanan dan ubat-ubatan tersebut tiba di pusat pengumpulan di bandar Cucuta, diiringi pasukan polis Colombia.
Namun, kesemua lori terbabit terkandas di Jambatan Tienditas yang menghubungkan bandar berkenaan dengan bandar Urena di Venezuela.
Terdahulu, pasukan tentera Venezuela dilaporkan dengan sengaja meletakkan kontena kargo dan lori tangki di jambatan berkenaan bagi menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan terbabit.
Bantuan kemanusiaan AS dihantar ke Venezuela susulan permintaan pemimpin pembangkang, Juan Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden.
Menurut Guaido yang juga Ketua Perhimpunan Kebangsaan, rakyat Venezuela yang kini kekurangan bekalan keperluan asas termasuk makanan, berdepan risiko kematian tanpa bantuan antarabangsa.
Bagaimanapun, Presiden Nicolas Maduro yang yang mendapat sokongan pasukan tentera, enggan membenarkan bantuan kemanusiaan tersebut memasuki Venezuela.
Maduro menolak sebarang bentuk bantuan antarabangsa terutama dari AS, dengan alasan ia hanya pembuka jalan untuk campur tangan ketenteraan yang bertujuan menyingkirkan beliau.- BBC