MELAKA -"Hari ini umpama 'Jumaat menangis'. Dua saf jemaah sahaja yang ada untuk solat Jumaat di masjid ini," kata Penolong Ketua Penyelia Pengawal Keselamatan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Abdul Aziz Abd Razak ketika ditanya mengenai solat Jumaat yang berlangsung di Masjid Negeri, Masjid Al Azim pada Jumaat.
Abdul Aziz yang sudah lima tahun bertugas di masjid itu berkata, berat hatinya untuk meminta jemaah lain yang datang supaya pulang menunaikan solat Zohor di rumah selepas kuota 45 jemaah sudah cukup kerana memenuhi syarat ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri imi.
Bagaimanapun, katanya, dia terpaksa akur dengan tugas dan tanggungjawab bagi memastikan orang ramai patuh dengan arahan yang ditetapkan kerajaan dalam mengekang wabak Covid-19.
Menurutnya, masjid berkenaan sepatutnya boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dalam satu-satu masa.
"Biasanya saya bersama tiga orang rakan memantau kemasukan jemaah pada solat Jumaat di beberapa pintu masuk, namun kali ini hanya satu sahaja pintu yang dibuka pada jemaah.
"Lebih 50 yang datang untuk solat Jumaat tetapi kami hanya membenarkan 45 jemaah sahaja berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di masjid yang terletak di Bukit Palah di sini pada Jumaat.
Terdahulu, kerajaan negeri membenarkan solat Jumaat dengan kehadiran 45 jemaah sepanjang tempoh PKP.
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, solat Jumaat boleh diteruskan di semua surau yang diberikan kebenaran sementara dan masjid sehingga satu pengumuman diberikan kelak.
Sementara itu, seorang jemaah yang bekerja sebagai pemandu perkhidmatan e-hailing Anuar Johari, 56, berkata, dia bersyukur menjadi antara jemaah terawal yang datang utuk solat jemaah di masjid berkenaan.
Menurutnya, dia sanggup datang ke masjid itu kira-kira jam 10 pagi bagi mendapatkan maklumat daripada pengawal keselamatan berkaitan waktu yang sesuai bagi pendaftaran masuk jemaah.
"Selepas diberitahu, saya terus pulang ke rumah di Alai untuk menukar pakaian dan datang semula pada pukul 12 tengah hari dengan harapan dipilih bagi melaksanakan ibadah ini," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Agam Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat berkata, solat Jumaat di kesemua masjid dan surau yang dibenarkan solat Jumaat berjalan lancar walaupun hanya dihadkan seramai 45 jemaah sahaja.
Menurutnya, pihaknya tidak menolak untuk menambahkan bilangan jemaah pada masa akan datang sepanjang tempoh PKP, namun bergantung kepada kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Dalam masa sama sebarang aktiviti kelas agama, fardu ain serta pelbagai lagi masih tidak dibenarkan di masjid dan mana mana surau di negeri ini," katanya.