SANDAKAN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga kru sebuah bot tunda yang dikhuatiri hilang semasa hujan lebat di perairan Kuala Kinabatangan Besar sejak awal pagi Rabu diteruskan pada Jumaat walaupun cuaca buruk berterusan.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan, Komander Ahmad Firdaus Shaari berkata, ombak kuat turut menyukarkan pencarian oleh sembilan aset pelbagai agensi yang dikerahkan dalam operasi itu.
"Kami (APMM serta agensi penyelamat) sedang berusaha dengan Jabatan Laut dan syarikat bot tunda untuk mencari kapal itu, yang kami percaya karam bersama tiga anak kapal yang terperangkap di dalamnya.
"Operasi SAR dipecahkan kepada enam sektor pencarian dengan keluasan meliputi 211 batu nautika persegi,” katanya kepada pemberita ketika menanti ketibaan dua kru yang terselamat dalam insiden itu di jeti APMM Sandakan di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun, APMM hanya dimaklumkan mengenai insiden itu pada 4.20 petang pada hari itu dan operasi SAR diaktifkan sejam kemudian.
Anggota kru yang dikhuatiri hilang itu ialah Kapten bot, Mohamad Mal, 49, dan dua kru, Mohd Hafiz Isyra Nagrah, 22, serta Azlan Hassan, 23.
Sementara itu, seorang daripada kru yang terselamat iaitu ketua jurutera bot tunda itu, Asman Mohamad, 31, yang merupakan anak kapten tersebut berkata, beliau berada di dek bot apabila bot itu membuat keputusan untuk berpatah balik kerana cuaca buruk menghalangnya untuk meneruskan perjalanan ke Sandakan.
"Ketika bot itu berpusing (kembali ke Kinabatangan), saya cuba untuk masuk ke bilik enjin tetapi pintu tiba-tiba tersekat. Kemudian ombak yang kuat melanda bot dari belakang menyebabkan saya terlambung dari atas kapal.
"Saya tidak memakai jaket keselamatan tetapi saya berjaya menarik pelampung dan saya berpaut pada pelampung selama tujuh jam mengharung ombak yang kuat sehingga hanyut ke pantai. Yang lain (anggota kru yang lain) masih berada di dalam bot ketika bot itu terbalik,” katanya.
Asman berkata, ketika berada di pantai, beliau melihat tongkang atau barj yang ditunda sebelum itu kira-kira 152 meter jaraknya, sambil anggota kru barj berkenaan, Roslie Antala, 48, melambai padanya supaya menaiki barj tersebut.
Dia juga melihat bekalan makanan dalam bot tunda itu yang hanyut ke pantai dan bekalan itu yang menahan mereka daripada kelaparan sehingga mereka diselamatkan.
Sementara itu, Roslie berkata, dia melihat bot tunda itu berpatah balik ke Kinabatangan sekitar jam 3 pagi tetapi sejam kemudian, lampu bot tunda itu padam dan tiada lagi bunyi yang kedengaran dari enjinnya.
"Ombak masih lagi kuat dan saya masih berada di atas barj. Tali penarik (yang menyambung barj dengan bot tunda) telah hilang,” katanya.
Roslie, yang merupakan pak cik Asman berkata, kira-kira jam 11 pagi pada Rabu dia melihat anak saudaranya itu di pantai dan lewat petang itu mereka diselamatkan. - Bernama