KUALA LUMPUR - Keadaan lalu lintas di seluruh negara adalah terkawal susulan arahan larangan rentas negeri bagi orang ramai yang masih berada di kampung untuk pulang ke kediaman asal dibenarkan selewatnya pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, keadaan aliran trafik bermula hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Rabu hingga kini (Jumaat) adalah sangat baik.
Menurutnya, tiada kesesakan luar biasa dilaporkan dan kenderaan persendirian didapati amat kurang di atas jalan raya berbanding sebelum PKP.
"Namun, orang ramai diingatkan untuk terus patuh pada arahan prosedur operasi standard (SOP) semasa pandemik ini.
"Duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak untuk keluar. Hanya perkhidmatan penting dan petugas barisan hadapan yang dibenarkan.
"Jika benar-benar ada urusan penting sahaja dibenarkan seperti menziarahi ahli keluarga yang sakit dan itu perlu mendapat kelulusan pergerakan dari balai polis terdekat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, keadaan lalu lintas di ibu negara adalah terkawal sehingga pada Jumaat.
Katanya, hanya sedikit kesesakan dilaporkan sehari sebelum PKP dilaksanakan semula mungkin disebabkan orang ramai yang keluar untuk mendapatkan barang keperluan.
"Kita juga menjangkakan keadaan terus terkawal. JSPT Kuala Lumpur sentiasa 'alert' sekiranya berlaku sebarang kesesakan," katanya.
Bagi situasi di Selangor, Ketua JSPT Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, keadaan di laluan masuk utama seperti Tol Gombak masih terkawal.