SELAYANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan seramai 38 kanak-kanak Rohingya yang dieksploitasi sebagai pekerja paksa di kilang pembuatan pelitup muka pada Khamis.
Ketua Penolong Pengarah (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, serbuan Op Pintas hasil risikan selama sebulan itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian D3 JSJ Bukit Aman di dua buah lokasi kira-kira jam 8.30 malam.
Menurutnya, operasi dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan Pasukan Petugas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak menahan enam warga tempatan termasuk tiga wanita.
"Dipercayai suspek berusia lingkungan 21 hingga 41 tahun ini berperanan sebagai majikan dan pemilik kilang selain penyelia, pembantu serta penjaga.
"Hasil operasi ini, polis bertindak menyelamatkan 38 kanak-kanak berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun termasuk tujuh perempuan yang disyaki dijadikan sebagai mangsa pemerdagangan untuk melakukan kerja secara paksa," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, semakan mendapati kanak-kanak ini adalah pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Katanya, siasatan awal mendapati ada di antara kanak-kanak itu telah bekerja di kilang berkenaan sejak lebih dua bulan lalu.
"Dipercayai mereka ditawarkan gaji sebanyak RM45 sehari dengan bayaran setiap dua minggu. Namun, gaji tidak dibayar sejak Disember tahun lalu," katanya.
Tambahnya, kilang berkenaan turut menempatkan 155 pekerja dewasa terdiri daripada warga Myanmar yang juga pemegang kad UNHCR.
"Agensi ini didapati mengambil pekerja asing tanpa mendaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja.
"Polis telah merampas dua buku daftar pekerja, tujuh unit telefon bimbit dan 38 kad perakam waktu untuk tindakan lanjut," katanya.
Tegasnya, kesemua tangkapan kini direman tujuh hari. Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 14 akta sama.