KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mula bertindak lebih tegas dan tiada lagi kompromi terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga hari lepas, kerajaan telah memberi kelonggaran dan ruang sewajarnya serta PDRM juga masih menggunakan budi bicara dalam mengambil tindakan.
"Hari ini (15 Januari) adalah hari terakhir pihak PDRM menggunakan budi bicara mereka kerana bermula esok (16 Januari) polis akan mula bertindak tegas dan tiada lagi kompromi terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi SOP ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar perkembangan PKP di Wisma Pertahanan di sini.
Ismail Sabri berkata, sekiranya orang ramai masih mempunyai kekeliruan berkaitan SOP mereka boleh merujuk kepada laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau menghubungi hotline agensi atau kementerian berkaitan.
Selain itu, pada Khamis pasukan khas operasi pematuhan PDRM telah melakukan sebanyak 45,172 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP di seluruh negara.
"Sebanyak 3,111 pasar raya, 3,913 restoran, 829 kilang, 1,548 pasar tani/awam dan 2,646 tempat ibadah serta 1,268 tempat riadah telah diperiksa.
"PDRM juga menahan 514 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu 495 orang telah dikompaun manakala 18 direman dan seorang telah dijamin,” katanya.
Mengenai Op Benteng, beliau berkata semalam pihak berkuasa telah menahan 42 pendatang tanpa izin dan merampas sebuah bot serta merampas tiga kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.
"Sebanyak 444 sekatan jalan raya Op Benteng dilaksanakan di seluruh negara melibatkan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia,” katanya. - Bernama