SUBANG - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan menyiasat insiden kekecohan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman bagi melihat sama ada kes itu melibatkan isu pencabulan hak asasi manusia.
Pesuruhjayanya, Jerald Joseph berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman bagi mendapatkan maklumat berhubung latar belakang kuil tersebut dengan lebih lanjut.
"Bagi Suhakam, kepentingan kita adalah untuk mencari maklumat berkaitan kes ini berikutan terdapat beberapa persoalan yang perlu diberi perhatian oleh pihak terlibat,” katanya ketika turun ke kuil berkenaan, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan kuil: Polis tahan empat lelaki, rampas parang]
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan perselisihan faham antara dua kumpulan berhubung isu pemindahan tapak kuil terletak di USJ 25, menjadi punca pergaduhan dan insiden kenderaan dibakar.
Mengulas lanjut, Jerald berkata, pihaknya amat kecewa dengan tindakan pihak tertentu yang cuba mencetuskan rusuhan sehingga menyebabkan situasi menjadi tegang.
Beliau berkata, dalang di sebalik insiden ini juga perlu dikenakan tindakan sewajarnya dan dibawa ke muka pengadilan.
"Siapa sahaja yang terlibat sejak hari pertama perlu dikenakan tindakan kerana keadaan sebegini tidak sepatutnya berlaku. Mereka boleh duduk semeja untuk mencari penyelesaian,” katanya.
Dalam pada itu, Jerald berkata pihaknya berharap agar proses siasatan berhubung kes itu akan dijalankan dengan berlandaskan fakta bagi mencari penyelesaian mengikut hak asasi manusia.
Tambahnya, Suhakam akan memaklumkan hasil siasatan dengan syor-syor yang diperlukan kepada pihak berkaitan selepas ini.
"Saya juga seru Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk mengambil tanggungjawab bagi menyelesaikan isu ini kerana perkara melibatkan hak asasi adalah di bawah bidang kuasa mereka,” katanya.
Suhakam akan siasatan insiden kekecohan kuil
Iklan