Biden umum Pelan Penyelamat Amerika

Iklan
Biden ketika membuat pengumuman tentang rancangan pertama beliau untuk memulihkan semula ekonomi AS di Queen theater di Wilmington, Delaware pada Khamis. - Foto AFP

WASHINGTON - Bakal Presiden ke-46 Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi khabar gembira akan mengusulkan suntikan dana AS$9 trilion (RM36 trilion) ke dalam ekonomi negara itu yang terjejas teruk akibat Covid-19 selepas mengambil alih Rumah Putih minggu depan.

Pelan Penyelamat Amerika yang akan menjadi pakej bantuan ketiga terbesar di AS itu turut merangkumi sejumlah langkah bertujuan untuk memulihkan semula negara ekonomi terbesar di dunia itu.

Iklan
Iklan

Di bawah pelan itu, Biden, 78, juga merancang untuk menaikkan gaji minimum persekutuan kepada AS$15 (RM60) sejam, membantu kerajaan negeri dan tempatan, membuka semula sekolah dengan selamat dan menjalankan kempen vaksinasi secara meluas dan meningkatkan saiz pakej rangsangan diluluskan kongres bulan lalu.

"Ia bertujuan untuk mengelakkan kesan buruk kepada ekonomi bagi tempoh jangka panjang," ujarnya ketika berucap di Wilmington, Delaware.

Iklan

Susulan pengumuman itu, pemimpin kanan Demokrat di Senat, Chuck Schumer dan Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi menyambut baik Pelan Penyelamat Amerika tersebut malah mereka berjanji akan mengemukakannya di Kongres.

"Kami akan mengubah visi bakal Presiden baharu AS ini kepada undang-undang yang akan diluluskan di kedua-dua dewan," ujar mereka dalam satu kenyataan.

Iklan

Difahamkan, Biden juga merancang untuk membentangkan pelan pemulihan kedua selepas acara pelantikan beliau pada Rabu ini yang bertujuan untuk mengurangkan masalah pengangguran dan memerangi fenomena perubahan iklim.

"Kita akan gunakan wang pembayar cukai untuk membina semula Amerika. Kita akan beli produk tempatan, sokong jutaan peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan dan meningkatkan kekuatan daya saing dalam dunia yang semakin kompetitif," katanya. - Agensi