MELBOURNE - Seekor burung merpati secara tiba-tiba mendapat perhatian media seluruh dunia selepas didakwa sebagai 'penceroboh Amerika' malah pihak berkuasa Australia juga merancang untuk memusnahkannya.
Haiwan itu yang digelar Joe sempena nama bakal Presiden ke-46 Amerika Syarikat (AS) pada mulanya dipercayai telah terbang sejauh 14,500 kilometer dari Alabama ke sebuah halaman di Melbourne.
Media tempatan melaporkan burung merpati lumba itu ditemui Kevin Chelli-Bird dengan mempunyai tanda pada kakinya sebelum ia menjadi tular.
Pegawai kuarantin bagaimanapun melabel ia sebagai 'risiko biokeselamatan' dan menyarankan supaya haiwan itu dimusnahkan bagi mengelakkan sebarang penyebaran penyakit.
Tetapi, beberapa pakar mula mempersoalkan identiti Joe dan mereka percaya tanda pada kaki burung merpati itu sering digunakan pemilik tempatan.
Selain itu, hasil pemerhatian mereka juga mendapati ia bukan berasal daripada baka lumba AS sebaliknya Turkish Tumbler tempatan.
"Ia bukan jenis baka yang terbang jarak jauh. Oleh itu, saya percaya ia adalah burung pertunjukkan," kata Lara Scott daripada Pigeon Rescue Melbourne yang cuba menyelamatkan Joe dan percaya tanda tersebut adalah palsu yang turut disokong Kesatuan Merpati Lumba Amerika.
Bagaimanapun, pegawai kuarantin menegaskan mereka masih menyiasat asal usul Joe dan mengesahkan tanda identiti burung merpati tersebut.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Michael McCormack memberi mesej tegas kepada Joe.
"Jika Joe tidak mematuhi langkah biokselamatan ketat dilaksanakan negara ini, ia sememangnya nasib buruk buat haiwan itu. Sama ada ia terbang pulang atau berdepan akibatnya," tegasnya. - AFP