AWANG tak setuju pandangan yang mengatakan pelajar harus kekal di rumah selagi wabak ini tak reda.
Kita tak tahu bila wabak ini akan lesap. Entah setahun, entah dua tahun, entah-entah selamanya. Wallahuaklam.
Kita selalu cakap pasal norma baharu. Kita kena terima hakikat ini. Keadaan tak macam dulu lagi. Paling kurang untuk setahun dua ini kita akan hidup dengan Covid-19.
Tapi kita tak boleh duduk diam dan penjara diri kita sendiri. Kita kena belajar hidup dalam keadaan baharu.
Pelajar negara ini dah lama tak sekolah. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama bermula pada bulan Mac tahun lepas, entah berapa hari mereka ke sekolah. Pelajaran mereka terganggu.
Lebih 3 juta pelajar yang sepatutnya ada di sekolah timbulkan juga masalah pada ibu bapa, lebih-lebih lagi yang bekerja.
Pilihan yang terbaik ialah untuk teruskan pembelajaran melalui talian. Memang pelajar di bandar atau yang bersekolah persendirian dan antarabangsa ada kemudahan itu.
Tapi jutaan pelajar di luar bandar macam mana? Ada yang tidak ada kemudahan asas macam laptop. Ada tempat yang kemudahan intenet tidak ada atau sangat lemah.