Rayu lanjut waktu operasi kedai makan

Iklan
Pengusaha restoran dan kedai makan merayu supaya kerajaan dapat menganjakkan waktu operasi kedai makanan sekurang-kurangnya sehingga jam 10 malam.

SHAH ALAM - Pengusaha restoran dan kedai makan meminta kerajaan memperhalusi kembali waktu operasi yang telah ditetapkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa buah negeri yang bermula pada Rabu lalu.

Menurut mereka, waktu operasi yang dibenarkan itu terlalu singkat dan memberikan implikasi yang sangat teruk kepada pendapatan peniaga makanan di kawasan yang terjejas akibat perintah tersebut.

Iklan
Iklan

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, beliau merayu supaya kerajaan dapat menganjakkan waktu operasi kedai makanan sekurang-kurangnya sehingga jam 10 malam.

"Sebab kadang-kadang untuk makan malam, mereka yang bekerja akan datang selepas Maghrib untuk bungkus makanan. Tetapi sekarang ini, selepas Maghrib kedai pun sudah tutup. Maknanya waktu Itu sangat terhad,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, waktu operasi yang singkat itu juga secara umumnya memberikan kesan buruk kepada pendapatan lebih 4,250 ahli persatuannya di seluruh Malaysia.

Menurutnya, rata-rata restoran di bawah persatuannya yang beroperasi di kawasan PKP hanya mampu membuat jualan sekitar 20 ke 25 peratus daripada apa yang mereka peroleh sebelum ini.

Iklan

Sehubungan itu, beliau berpendapat, selain daripada memperhalusi kembali waktu operasi, kerajaan juga perlu melihat semula larangan yang tidak membenarkan pelanggan untuk makan di restoran.

"Kita mohon juga kerajaan membenarkan pelanggan untuk makan di restoran seperti mana sebelum ini di mana mengehadkan satu meja untuk dua orang.

"Saya rasa pelanggan pun sekarang sudah faham budaya norma baharu ini di mana kita dapat lihat yang mereka sudah semakin berdisiplin dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, pengusaha restoran, Norhaliza Md Yusop pula berkata, tindakan mengehadkan waktu operasi setakat jam 8 malam menjejaskan pendapatan perniagaannya di mana sebahagian besarnya bergantung kepada jualan makan malam.

"Kalau ikut hari biasa, pesanan makanan kita waktu puncaknya ialah pada jam 8 hingga 9 malam.

"Jadi, kami memang sangat terkesan sebab masa itu sangat pendek untuk persiapan makan malam.

"Kasihan juga kepada penghantar makanan kerana terpaksa mengambil banyak pesanan sekali gus,” katanya.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sebahagian aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi sepanjang PKP dengan waktu operasi antara 6 pagi hingga 8 malam kecuali bagi aktiviti tertentu.

Katanya, ia termasuk restoran, kedai makan, penjaja tepi jalan dan beredar serta medan selera, namun tidak boleh makan di premis berkenaan sebaliknya hanya penghantaran, pembungkusan dan pandu lalu sahaja dibenarkan.