Gerakan memulihkan moral bangsa

Iklan
Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

AMALAN rasuah yang berlaku di Malaysia semakin parah dan menjadi sebahagian ekosistem di negara ini.

Untuk itu, peperangan menentang jenayah yang tidak bermoral ini perlu dimulakan dari bawah.

Iklan
Iklan

Justeru, orang ramai digesa menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam memerangi perbuatan rasuah yang berlaku di sekeliling mereka.

Ikuti kupasan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang mahukan satu gerakkan massa dilakukan bagi membanteras rasuah dan penyelewengan di negara ini.

Iklan

SINAR HARIAN: Boleh ulas serba sedikit mengenai usaha Datuk sebagai Penerbit Sinar Harian dalam memerangi amalan rasuah yang semakin parah di negara kita?

HUSSAMUDDIN: Saya rasa Sinar Harian akan all out dalam membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara sukarela untuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia yang sudah agak kritikal dan menjadi wabak. Oleh itu, Sinar Harian akan menubuhkan satu pasukan khas iaitu ‘Sinar Rasuah Busters’ mulai hari ini. Ia satu pasukan khusus untuk mengendalikan kes-kes rasuah.

Iklan

Siapa yang akan terlibat dalam pasukan khas ini?

Buat masa ini, pasukan khas ini melibatkan kakitangan Sinar Harian. Selepas itu kita akan buka kepada orang awam secara keseluruhannya.

Kita mahu ‘peperangan’ menentang rasuah sebab sudah berpuluh tahun ia berlaku namun rasuah semakin teruk. Jadi saya merasakan sudah tiba masanya Sinar Harian melibatkan orang ramai untuk membantu membanteras rasuah.

Jadi usaha kita ini ada hubung kait dengan kempen sebelum ini. Maknanya keruntuhan moral bangsa, rasuah dan sebagainya, jadi Sinar Harian terpanggil untuk buat satu gerakan pemulihan moral bangsa yang dinamakan ‘Sinar Untuk Malaysia’ #KarektorNilaiMoralBangsa.

Kempen besarnya ialah ‘Sinar Untuk Malaysia’, harapan baharu untuk Malaysia tetapi kalau mahu buat harapan baharu, mesti berasaskan nilai (value).

Ini sebahagian daripada nilai yang kita hendak bawa balik. Maknanya karakter dan nilai moral bangsa kita kena pulihkan. Ini mesti dimulakan dari bawah, maknanya orang awam. Mereka kena tolak rasuah, tidak boleh beri atau terima rasuah.

Untuk menggerakkannya, orang-orang yang tidak terlibat dengan rasuah ini kita mahu mengajak mereka menjadi skuad sukarela rasuah busters.

Kita hendak galakkan setiap tempat, semua orang secara tidak rasminya jadi skuad rasuah busters. Tugas mereka kena perhatikan, contohnya orang yang bergaji RM2,000 tetapi hidup seperti gaji RM20,000 mesti ada sumber pendapatan haram.

Kalau kita tengok apa sahaja, contoh kalau peniaga kecil yang memohon lesen dan bila jumpa pegawai kena bayar duit. Lapor kepada kita tetapi dengan bukti sahih. Kita mahu semua orang jadi takut. Mereka ini kena siapkan kamera, jadi kalau ada yang minta duit, rakam dan hantar kepada kita.

Adakah skuad Sinar Rasuah Busters ini bertindak sebagai mata dan telinga SPRM?

Ya, kita mahu jadi perantara. Mata dan telinga SPRM itu adalah orang ramai. Urusan membanteras rasuah ini perlu melibatkan orang ramai. Mereka sendiri kena ada inisiatif, kalau ada yang minta duit, rakam bukti serta hantar skuad Sinar Rasuah Busters akan tapis, selidik sebelum diserahkan kepada SPRM.

Dalam ciapan di Twitter, Datuk ada nyatakan sekiranya orang ramai yakin itu satu penyalahgunaan kuasa, bukti itu akan dihantar kepada SPRM tetapi jangan ‘overzealous’. Boleh Datuk jelaskan?

Maksudnya (bukti) jangan terlebih-lebih, jangan khianat orang, jangan cuba nak lebihkan kuasa. Maknanya kita tahu kita tidak ada kuasa.

Jadi kita kumpul bukti sahaja mengikut landasan undang-undang. Kalau ada yang minta dengan kita, kita rakam, nampak polis minta duit tengah jalan, ambil gambar tetapi jangan viralkan.

Bukti ini hantar kepada kita dan kita akan siasat. Maknanya pasukan Sinar Rasuah Busters ini akan counter check, bila kita dapat bukti lagi mantap, kita akan hantar kepada SPRM. Ada semak dan imbang (check and balance).

Sekurang-kurangnya apa yang kita mahu laksanakan ini adalah untuk mewujudkan fear factor, kita mahu bangkitkan kesedaran rakyat.

Semua orang mahu menjadi rasuah busters jadi peminta rasuah sudah jadi takut kerana orang yang terpaksa beri rasuah sudah jadi rasuah busters. Jadi itu konsepnya.

Oleh itu, saya minta kerjasama orang ramai untuk jadi rasuah busters di kampung, di pejabat dan di jalan masing-masing.

Dengan sendirinya ‘polis tak rasmi’ untuk basmi rasuah ini akan berkeliaran dan dengan sendirinya orang akan rasa takut hendak meminta atau memberi.

Di pejabat atau di mana-mana pun, kalau ada orang nak minta duit, rakam dan bagi bukti kepada kita untuk disiasat. Kita akan bekerjasama dengan SPRM.

Kita mahu membantu, bukan untuk mengambil alih kuasa SPRM, kita hanya bantu penyiasatan sahaja, ini kena jelas.

Maksudnya dengan adanya Sinar Rasuah Busters ini akan menimbulkan rasa gerun dalam kalangan perasuah?

Sememangnya, kerana objektif kita mahu menimbulkan rasa gerun dalam kalangan peminta rasuah sekali gus menghalang aktiviti ini.

Kita bukan mahu menangkap mereka sebab kita bukan ada kuasa. Sebab itu saya jelaskan kena berhati-hati, jangan overzealous, jangan lebih-lebih, nanti akan menyusahkan kita.

Kita mahu ia benar-benar dibasmi dan dibanteras, dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar rasuah. Maksudnya sekarang semua rakyat jadi mata dan telinga SPRM dan salurkan (maklumat) kerana kita akan bekerjasama dengan SPRM.

Kita mahu banteras (rasuah) tidak mahu pemberi maklumat ini susah dan penerima rasuah juga susah, kita mahu adil untuk semua.

Statistik tangkapan salah laku rasuah di Malaysia.

Boleh Datuk jelaskan dengan lebih terperinci mengenai pasukan Sinar Rasuah Busters ini?

Kita akan tubuhkan pasukan khusus dan sebahagian staf Sinar Harian akan terlibat dan betul-betul fokus untuk membanteras rasuah.

Dalam akhbar Sinar Harian juga, kita akan adakan ruangan khas untuk perangi rasuah ini.

Kita mahu bawa kehidupan dan harapan baharu untuk rakyat Malaysia. Kita mahu bawa integriti kerana segelintir orang sudah tidak percaya dengan kerajaan, polis, Imigresen, jabatan agama dan sebagainya.

Oleh itu, kita mahu pulihkan sebab tenaga SPRM dan polis tidak cukup. Rakyat kena jadi ‘polis tambahan’ dengan batas yang terhad, kena sentiasa hormati dan mengikut garisan undang-undang yang betul.

Kita mahu mencipta sikap keprihatinan dan pencegahan.

Ingin ditegaskan sekali lagi, kita bukan mahu mengambil alih tugas SPRM tetapi membantu membanteras dan menghapuskan rasuah dalam kalangan rakyat Malaysia.

SPRM sudah lakukan terbaik tetapi kita mahu mengajak rakyat yang bencikan rasuah untuk sama-sama untuk bantu gerakan ini.

Semua orang adalah rasuah busters, apa sahaja aktiviti salah guna kuasa rasuah, dia kena bertanggungjawab.

Dalam hal ini, tiada siapa lantik siapa tetapi kita kena lantik diri kita sendiri.

Kita mengajak semua bergabung dan salurkan maklumat kepada kita melalui hotline yang akan dimaklumkan semula.

Rasuah ini berlaku dari kecil sampai besar. Kita mahu banteras dan hapus jenayah rasuah ini bermula dari bawah sebab ia sudah berakar umbi, sudah jadi sebahagian dalam ekosistem masyarakat.

Kita membimbing masyarakat untuk menjadi ejen pemberi maklumat.

Dalam pada itu, kita akan sentiasa bekerjasama dengan SPRM sebab kita tahu limitasi kita. Rasuah ini sudah berakar umbi.

Sinar Harian menjadi Sinar Rasuah Buskers dan orang awam pula menjadi ejen rasuah busters dan bergabung.

Mereka ini tidak ada kad kuasa sebaliknya inisiatif sendiri untuk memperbetulkan salah laku dan kuasa yang sudah berlaku sejak 50 tahun lalu. Sekarang dalam masa yang singkat ini, kita mahu perbetulkan.

Ini sebuah gerakan daripada rakyat untuk basmi rasuah demi rakyat. Rasuah sudah banyak menyusahkan kita, barang jadi mahal dan sebagainya.

Kita mahu semua mengambil peranan menjadi mata dan telinga untuk basmi serta hapuskan rasuah. Kita ajak semua orang ramai berkempen untuk hapuskan rasuah.

Tanggungajwab ini bukan daripada SPRM sahaja. Setiap individu bertanggungjawab untuk bersama-sama perangi aktiviti tidak bermoral ini.

Kalau boleh dalam setiap media sosial, mereka kutuk perbuatan rasuah ini, kalau perlu buat banner, buatlah. Kalau perlu buat T-shirt banteras rasuah, buatlah.

Ini adalah gerakan rakyat untuk hapuskan perbuatan tidak bermoral ini, kita mahu perbaiki situasi ini. Kerajaan ada masalah sendiri dan tidak mampu tangani isu ini.

Dalam keadaan sekarang, kerajaan fokus untuk tangani masalah pandemik Covid-19 yang masih belum reda. Jadi kita bantu kerajaan hapuskan amalan rasuah ini daripada sistem negara kita.

Rasuah ini sudah jadi sebahagian ekosistem, semua kena bayar. Jadi kita tidak boleh biarkan perkara ini berlanjutan.

Ini inisiatif Sinar Harian di bawah gerakan moral. Ini sebahagian kempen Sinar Untuk Malaysia dalam usaha memulihkan moral rakyat yang semakin mereput.