SHAH ALAM - Pemimpin akar umbi masih menaruh harapan agar UMNO dapat meneruskan pemilihan kepimpinan parti itu pada tahun ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pemuda UMNO Pagoh, Ir Mohamad Fazli Mohamad Salleh turut berpandangan sekiranya pemilihan itu dapat diadakan, perwakilan mampu untuk memilih pemimpin yang disukai rakyat.
Beliau berkata, UMNO tidak boleh menang PRU15 dengan undi ahlinya sahaja tanpa mendapat undi daripada rakyat.
Menurutnya, persepsi rakyat yang menolak sesetengah pemimpin UMNO perlu diambil perhatian dan UMNO perlu mengikut arus denyut nadi rakyat, bukan sentimen ahli UMNO semata-mata untuk menang PRU15.
"Kali ini perwakilan UMNO perlu bermentaliti untuk menang Pilihan Raya Umum (PRU), bukan setakat menang jawatan dalam parti sahaja.
"Tanpa menidakkan jasa-jasa pemimpin lama, UMNO perlu 'move on' sebagai parti yang segar sepanjang zaman.
"Parti yang dibarisi pelapis dari kalangan orang muda. Undi (pengundi) 18 (tahun) merupakan cabaran dan setakat ini belum ada signal positif dari golongan ini kepada UMNO," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata, dalam pada beberapa pemimpin UMNO yang mahukan PRU diadakan sebaik sahaja isu Covid-19 selesai, UMNO juga perlu bersedia untuk membariskan pemimpin yang berkaliber.
"(Pemimpin) yang bersih dan yang disukai rakyat untuk ditonjolkan sebagai Perdana Menteri alternatif sekiranya dalam PRU15 nanti UMNO tidak bersama Perdana Menteri yang ada sekarang," katanya.
Dalam masa sama, beliau meminta ahli parti itu mengambil iktibar keputusan PRU14 yang mana UMNO telah ditolak oleh rakyat kerana isu-isu yang berlegar dalam kalangan pemimpin parti itu.
"Tidak dinafikan itu semua sentimen dan persepsi, tapi kita kena akui kita gagal menguruskannya (dahulu) dan sekali lagi kita gagal menguruskan sekarang.
"Uruskan persepsi dan sentimen ini dengan baik, jangan sesekali menidakkan sentimen dan persepsi rakyat kerana rakyat mengundi berdasarkan persepsi dan sentimen. Jadikan PRU14 sebagai tauladan," katanya.
Beliau turut bersimpati dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang diserang baik dari luar parti mahupun dari dalam, namun berharap presiden parti itu dan UMNO berjiwa besar dengan pandangan semua.
"Dalam meraikan pendapat, ahli UMNO juga perlu mempertahankan institusi presiden tidak kira siapa individunya. Saya yakin Presiden UMNO sekarang berjiwa besar dan mengambil maklum semua isu yang dibangkitkan," katanya.