KUALA TERENGGANU - Pemergian bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas, 91, awal pagi tadi mendapat perhatian beberapa pemimpin Terengganu yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga beliau.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendoakan keluarga Allahyarham tabah dan sabar.
"Menerima khabar duka tentang pemergian Allahyarham Tun Dr Mohamed Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara pagi ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi beliau.
Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek juga berkongsi kesedihan dengan berita berkenaan.
"Banyak liku-liku yang dilalui Allahyarham, menjadikan beliau akan terus diingati. Pemecatannya dalam tahun 1988 mencetuskan krisis kehakiman dan politik yang besar dirasakan sehingga hari ini.
"Allahyarham adalah antara perancang awal membangunkan Akta Pembangunan Petroleum (1974) bagi membolehkan impian Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (Perdana Menteri Kedua) mengambil alih hasil minyak negara melalui Petronas.
"Tanpa usaha ini, hasil minyak negara terus dikaut oleh syarikat-syarikat asing. Peranan dan jasa anak Terengganu ini akan terus dikenang. Takziah untuk keluarga. Semoga roh bersama golongan beriman. Al-Fatihah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, selama mengenali Mohamed Salleh, Allahyarham seorang yang sangat merendah diri dan cintakan majlis ilmu.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu juga menyifatkan negara kehilangan seorang tokoh perundangan.
"Jika pulang ke Terengganu, beliau tidak akan ketinggalan mengikuti kuliah Jumaat mingguan bapanya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila, Marang.
"Seorang tokoh yang banyak jasanya kepada negara, khususnya dalam memartabatkan perundangan Islam. Antara jasa beliau ialah mendrafkan enakmen undang-undang jenayah Islam di Kelantan dan Terengganu sehingga ianya diluluskan di Dewan Undangan Negeri.
"Semoga Allah merahmati roh beliau dan mengangkat martabatnya bersama-sama dengan anbia’, syuhada’ dan solihin,” katanya.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris turut mengucapkan takziah di atas pemergian tokoh perundangan negara itu.