Angka kematian global Covid-19 mungkin jauh lebih tinggi

Iklan
Sebuah jentolak digunakan pada majlis pengebumian beramai-ramai pesakit Covid-19 di tapak perkuburan Parque Taruma di Manaus, Brazil. - Agensi

ANNAPOLIS - Jumlah kematian akibat Covid-19 kini melepasi dua juta orang di seluruh dunia, menurut pengiraan John Hopkins University.

Berdasarkan angka terkini, universiti yang berpusat di Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat (AS) itu meletakkan jumlah kematian global pada angka 2,006,732.

Iklan
Iklan

Lebih 93 juta orang di seluruh dunia pula dijangkiti virus tersebut.

Angka itu dicatat dalam tempoh setahun selepas Covid-19 kali pertama dikesan di bandar Wuhan, China pada Disember 2019.

Iklan

Ketika ini, angka kematian global hampir menyamai jumlah keseluruhan populasi penduduk di Brussels (Belgium), Makkah (Arab Saudi), Minsk (Belarus) atau Vienna (Austria) dan cuma mengambil masa lapan bulan untuk mencapai angka sejuta kematian.

Minggu lalu menyaksikan kematian tertinggi sejak wabak itu tercetus, dengan rata-rata 13,600 kematian setiap hari di seluruh dunia iaitu peningkatan 20 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Iklan

Benua Eropah menjadi epicentre atau pusat wabak sejak Oktober tahun lalu, menyumbang sekitar satu pertiga kematian global.

Sebanyak 52 negara dan wilayah di rantau itu telah mencatat purata 5,5570 kematian setiap hari iaitu 17 peratus lebih tinggi daripada minggu sebelumnya.

Amerika Syarikat (AS) dan Kanada pada minggu lalu secara keseluruhannya merekodkan 407,090 kes kematian baharu dan menyaksikan angka korban meningkat 20 peratus dengan membabitkan 869 kematian harian.

Amerika Latin dan Caribbean pula mencatatkan 542,410 kematian iaitu peningkatan 25 peratus pada minggu lalu dengan membabitkan 2,751 kematian harian.

Menurut John Hopkins University, AS (391,1992 kematian), Brazil (2018,246), India (151,918), Mexico (137,916), Britain (87,488) dan Itali (81,325) merekodkan angka korban tertinggi iaitu lebih daripada separuh jumlah kematian global.

Sementara itu, Belgium pula merekodkan kematian tertinggi daripada segi populasi dengan 1,751 kematian bagi setiap satu juta penduduk, diikuti Slovenia (1,501) dan Bosnia dan Herzegovina (1,344).

Walaupun jumlah itu dikira berdasarkan angka yang diberikan oleh agensi kerajaan di seluruh dunia, namun jumlah korban dipercayai jauh lebih tinggi.

Ini kerana sebahagiannya berpunca daripada ujian saringan yang tidak mencukupi dan banyak kematian disebabkan faktor lain, terutamanya pada awal penularan wabak.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, kematian Covid-19 diburukkan lagi dengan tidak adanya usaha yang diselaraskan secara global, sambil menambah:"Sains telah berjaya, tetapi solidariti telah gagal."

Gutteres mengulas kematian Covid-19 itu ketika Jawatankuasa Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan bukti bahawa vaksinasi atau kekebalan Covid-19 sebagai syarat utama untuk perjalanan antarabangsa sebagai 'tidak diketahui' dalam mengurangkan penularan wabak tersebut.

"Buat masa ini, jangan memperkenalkan syarat bukti vaksinasi atau kekebalan untuk perjalanan antarabangsa sebagai syarat utama kemasukan ke dalam negara kerana masih belum diketahui tahap keberkesanan vaksin dan dos vaksin juga terhad.

"Bukti vaksinasi tidak boleh dijadikan alasan bagi pelancong antarabangsa untuk tidak mematuhi langkah pengurangan risiko perjalanan yang lain," katanya. - Agensi