KUALA LUMPUR – Seramai 1,283 penumpang perkhidmatan Rapid KL telah membuat penebusan pakej My30 Plus30 - Beli 1, Percuma 1 pada hari pertama pembukaannya semalam.
Rapid KL dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, kempen itu menawarkan pembelian pas perjalanan tanpa had My30 bermula 21 Disember lalu sehingga 31 Mac depan.
Iklan
Iklan
Menurut kenyataan itu, di bawah kempen tersebut, satu baucar pas percuma My30 akan diberikan bagi setiap pembelian yang boleh digunakan untuk pembaharuan pada bulan berikutnya.
"Pas percuma My30 ini terhad kepada 8,333 penebusan sahaja dan siapa cepat dia dapat. Seorang pengguna untuk sekali penebusan sahaja," menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, penebusan pas percuma boleh dilakukan di kiosk sayap timur Stesen LRT KL Sentral sehingga jam 10.30 malam manakala di Hab Bas Pasar Seni sehingga 7 malam.
"Bagaimanapun, kaunter di Hab Bas Pasar Seni ditutup pada hari Ahad dan hari-hari cuti am manakala kaunter di KL Sentral dibuka setiap hari.
"Maklumat lanjut mengenai kempen ini dan info-info lain mengenai My30, pengguna boleh melayari laman web rasmi Rapid KL di www.myrapid.com.my," katanya.