TANJUNG MALIM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas ke atas individu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama berkaitan rentas negeri bermula Sabtu.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, lebih 100 anggota dan pegawai akan bertugas setiap hari bagi melaksanakan penugasan Op Covid-19 di daerah Muallim.
"Seramai 80 anggota akan bertugas membabitkan empat sekatan jalan raya di Taman Universiti; Jambatan Sungai Bernam, Behrang Stesen; Plaza Tol Behrang dan Slim River. Jalan Masjid Lama, sempadan Tanjong Malim dan Hulu Bernam telah ditutup sepenuhnya.
"20 anggota lain akan meronda ke premis makanan, pasar raya, tempat tumpuan orang ramai dan lain-lain tempat bagi memastikan orang awam mematuhi SOP dan penjarakkan fizikal," katanya di sini pada Sabtu.
Menurutnya, kawalan ketat dibuat bagi membendung penularan penyakit berjangkit Covid-19 berikutan daerah Muallim bersempadan dengan Hulu Selangor.
"Pihak polis akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak. Tindakan kompaun akan dikenakan kepada mana-mana individu yang didapati melanggar SOP PKPB yang telah ditetapkan.
"Masyarakat yang perlu merentasi negeri dinasihatkan untuk dapatkan surat kelulusan sebelum merentasi ke kawasan daerah Muallim. Sekiranya tiada alasan atau surat kebenaran, kompaun dikenakan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya.
Mengulas lanjut, tindakan sepanjang tiga hari tempoh 'kelonggaran' yang berakhir pada Jumaat, Sulizmie Affendy berkata, tiada kompaun dikeluarkan dan kadar pematuhan masyarakat terutama di sempadan didapati pada tahap baik.
Sepanjang tempoh tersebut, katanya, polis telah memeriksa lebih 8,000 kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di sempadan kedua-dua negeri itu.