AMBANK Group bersedia untuk menawarkan moratorium bantuan banjir sehingga enam bulan kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir.
Bank itu dalam satu kenyataan berkata moratorium itu merangkumi ansuran bulanan atau pembayaran balik bagi semua fasiliti pinjaman dan pembiayaan termasuk kemudahan kad kredit.
"Kami bersedia untuk membantu pelanggan kami sebaik mungkin dalam tempoh yang sukar ini. Kami percaya bahawa moratorium kami akan membantu meringankan kesusahan yang dihadapi mangsa banjir," kata Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Sulaiman Mohd Tahir.
Selain itu, AmBank akan mengetepikan semua caj sampingan dan penggantian untuk pelanggan yang ingin menggantikan buku simpanan, buku cek, sijil simpanan tetap, ATM, kad kredit dan debit, katanya.
Bank itu juga akan terus menghulurkan bantuan kepada pelanggan B40, M40 dan perusahaan mikro yang mengalami kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan akibat kesan pandemik Covid-19 melalui program Bantuan Pembayaran Balik Bersasar (TRA).
"Kami faham keadaan sekarang masih mencabar dan kami ingin meyakinkan pelanggan bahawa kami akan terus membantu mereka dalam memenuhi kewajipan kewangan mereka," kata Sulaiman.
Selain lanjutan Program TRA sehingga 30 Jun 2021, kumpulan ini meneruskan jangkauan pelanggannya bagi menawarkan bantuan tambahan yang disesuaikan.
Sehingga kini, AmBank telah menjangkau lebih 500,000 pelanggan untuk menawarkan bantuan pembayaran balik.
Bank tersebut telah memproses lebih daripada 150,000 permohonan daripada individu termasuk pelanggan perusahaan kecil dan sederhana membabitkan dana sebanyak RM13 bilion, serta meluluskan hampir 100 peratus daripada permohonan berkenaan.
AmBank ingin menasihatkan pelanggan yang mengalami kesukaran dan gangguan akibat banjir untuk menghubungi cawangan atau pusat panggilan terdekatnya pada talian 03-2178 8888 atau dengan menghantar e-mel kepada floodrelief@ambankgroup.com. - Bernama