SHAH ALAM - Sebarang tangkapan yang dilakukan anggota anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang tempoh darurat perlu diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melalui proses undang-undang dalam tempoh 24 jam.
Memetik laporan Berita Harian pada Jumaat, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, tindakan sedemikian perlu dilakukan kerana tindakan seperti siasatan dan menahan pesalah untuk tempoh selanjutnya bukan berada dalam bidang tugas ATM.
"Peranan pihak ATM dalam konteks ini adalah untuk membantu polis, mereka juga tidak boleh melakukan serbuan atau melakukan sekatan jalan raya secara sendirian.
"Tentera diberi kuasa membuat pemeriksaan dan tangkapan, namun bukan untuk menjalankan tindakan seperti siasatan dan tahanan lanjut kerana itu bukan bidang tugas mereka.
"Orang yang ditangkap oleh tentera perlu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dalam tempoh 24 jam. Ia seperti kuasa 'citizen arrest' (tangkapan awam) yang diberikan sebelum ini," katanya ketika mengulas mengenai bidang kuasa anggota ATM untuk melakukan tangkapan dalam pelaksanaan Ordinan Darurat yang berkuat kuasa sejak Isnin lalu.
Dalam laporan yang sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, perkara berkenaan bidang kuasa ATM adalah masih berada dalam peringkat perbincangan.
Menurutnya, hal yang demikian perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum dilaksanakan kerana ia melibatkan banyak perkara yang berkaitan dengan aspek teknikal,
"Perbincangan masih dijalankan oleh PDRM bersama agensi-agensi yang berkaitan," katanya.
Pada Khamis, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di bawah pelaksanaan Ordinan Darurat, bidang kuasa tentera dan polis adalah sama dan ini akan memudahkan pengurusan Covid-19 dengan lebih baik.
Menurutnya, ia akan berkuat kuasa sepanjang tempoh Ordinan Darurat dilaksanakan sehingga Ogos depan.