Pembukaan sekolah seluruh negara 20 Januari ditangguhkan

Iklan
Sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula 20 Januari di seluruh negara ditangguhkan berikutan keadaan semasa jangkitan Covid-19.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula 20 Januari di seluruh negara ditangguhkan berikutan keadaan semasa jangkitan Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, KPM memaklumkan sesi persekolahan bersemuka hanya akan melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah sedemikian diambil susulan daripada perkembangan terbaharu jumlah kes jangkitan Covid-19 pada 16 Januari 2021 dan trend kes yang semakin meningkat.

Katanya, KPM telah melakukan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memutuskan beberapa perkara berkaitan operasi institusi pendidikan yang berada di bawah KPM.

Iklan

"Semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari 2021,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, KPM memaklumkan bahawa pelajar sekolah asrama di bawah KPM yang sudah mendaftar pada 16 Januari 2021 diberikan pilihan sama ada untuk kekal di asrama atau pulang ke rumah.

Iklan

Jelasnya, ketetapan itu akan melibatkan pelajar tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Berasrama Penuh sementara bagi Asrama Sekolah Harian pula, ia akan membabitkan murid tingkatan 1,4 dan 5.

"Pelajar terbabit boleh boleh kekal di asrama dan mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian di sekolah atau boleh pulang ke rumah dan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Ibu bapa atau penjaga dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Bagi murid Tingkatan 5 tahun 2020 dan Tingkatan 6 di kedua-dua jenis sekolah berkenaan, mereka dibenarkan untuk mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah sehingga selesai peperiksaan.

Pada masa sama, KPM memaklumkan bahawa semua guru hendaklah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari 2021 bagi tujuan pengoperasian sekolah.

"Guru yang terlibat dengan kelas peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020 perlu hadir ke sekolah untuk tujuan PdP secara bersemuka, menurut kenyataan itu.

"Guru yang lain akan melaksanakan PdPR dan kehadiran ke sekolah adalah berdasarkan keperluan yang ditetapkan oleh Ketua Jabatan,” menurut kenyataan itu.

Untuk pelajar di Kolej Matrikulasi, mereka diarahkan untuk terus kekal di kolej masing-masing bagi mengikuti pembelajaran secara hibrid.

Sementara itu, semua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah berada di asrama perlu kekal berada di asrama kampus manakala bagi yang masih belum mendaftar di asrama, mereka boleh memilih untuk masuk ke asrama atau kekal berada di rumah masing-masing.

"PdP untuk semua pelajar IPG akan dilaksanakan secara dalam talian mulai 17 Januari 2021. Perincian berkaitan pelaksanaan praktikum dan internship IPG akan dimaklumkan kelak.

Pada masa sama, KPM memaklumkan semua tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka.

"KPM menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk sekolah di bawah Kerajaan Negeri.

"KPM sentiasa komited membantu usaha Kerajaan dalam melandaikan keluk penularan wabak Covid-19,” katannya.