PUTRAJAYA - Sokongan dan kerjasama orang ramai kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dilihat mampu membebaskan negara daripada cengkaman rasuah.
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategiknya, Kamaruddin M Ripin berkata, setiap individu perlu berusaha dan memainkan peranan masing-masing untuk membasmi rasuah.
"Niat dan usaha bersama seperti itu mampu melindungi negara daripada ancaman rasuah.
"Bagi membawa mereka yang terlibat dengan jenayah rasuah ke muka pengadilan, bukti kukuh yang diperoleh dengan kerjasama orang ramai perlu dilapor oleh penyiasat SPRM semasa proses pendakwaan.
"Sekiranya setiap orang mula menyemai pemikiran seperti itu dalam diri mereka, perubahan individu itu lama kelamaan akan menjadi sebagai perubahan dalam masyarakat dan seterusnya perubahan seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kamaruddin berkata, perubahan itu pasti akan membolehkan negara menjadi lebih makmur dan bersedia mengharungi banyak cabaran di persada antarabangsa.
Beliau berkata, rakyat harus mengubah corak pemikiran bahawa sekiranya melakukan sesuatu kesalahan atau kesilapan, ia boleh ditutup dengan menyalurkan wang ringgit sebagai rasuah.
"Idea bahawa kita boleh mempengaruhi keputusan seseorang supaya memihak kepada kita dengan menyogok pembuat keputusan itu juga perlu diketepikan.
"Itulah yang menyebabkan wujudnya budaya rasuah secara meluas. Seterusnya ia menjadi ancaman buruk kepada negara.
"Seorang pegawai yang menjalankan tugasnya secara adil tidak perlu disogok untuk melaksanakan tanggungjawabnya.
"Apa-apa tindakan yang dilakukan di bawah lunas undang-undang dan mereka yang melakukannya tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
"Jenayah rasuah timbul apabila seseorang itu cuba mengambil jalan pintas melakukan sesuatu dengan hanya mementingkan diri sendiri,” katanya.
Kamaruddin berkata, rasuah merupakan satu cabaran besar kepada negara dan SPRM berusaha sedaya upaya untuk membendung gejala itu daripada terus berleluasa.
Antara kes yang menarik perhatian umum termasuklah penahanan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan kes rasuah projek terowong.
Selain itu, penahanan seorang bekas Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) daripada salah sebuah kementerian kerana disyaki menerima rasuah bagi satu tender kementerian dan penahanan setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan untuk membantu siasatan kes rasuah projek secara rundingan terus bernilai lebih RM56 juta.
Bagaimanapun, katanya, rasuah masih gagal dibanteras sepenuhnya berkemungkinan mentaliti masyarakat yang menganggap usaha pembanterasan rasuah beradat di bahu SPRM.
"Rakyat beranggapan mereka hanya perlu menjadi pemerhati dan menggunakan platform media sosial sebagai medan untuk menyuarakan pendapat.
"Bila timbul isu rasuah, semua orang menuding jari ke arah SPRM,” katanya.