MCW komited jalin kerjasama dengan Sinar Harian

Iklan
Gambar kecil: Jais Abdul Karim

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) komited menjalinkan kerjasama dengan Sinar Harian sebagai rakan strategik susulan pelancaran gerakan Sinar Rasuah Busters yang bertujuan membanteras amalan rasuah dan juga salah guna kuasa.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, media seperti Sinar Harian amat penting dalam melakukan propaganda sebegini kerana mempunyai ramai pengikut dan sudah pastinya rakyat Malaysia peka dengan apa yang dilakukan sekarang.

Iklan
Iklan

"Pihak MCW sendiri komited untuk bersama-sama dalam perjuangan ini.

"Gerakan ini dikatakan dapat memberi satu mesej yang sangat penting kepada rakyat untuk sama-sama menjaga negara kita dari pelbagai masalah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, rakyat seharusnya lebih bersikap terbuka dan menerima kenyataan bahawa amalan rasuah di dalam negara semakin tenat dan ia perlu diatasi dengan kadar segera.

"Kita tidak boleh menafikan bahawa Malaysia ini masih rendah rasuah, tiada rasuah.

Iklan

"Kita harus bersikap terbuka dan menerima kenyataan bahawa rasuah semakin membarah. Bagi MCW, rasuah adalah musuh nombor satu negara.

"Kerjasama semua pihak dalam usaha melawan amalan rasuah ini adalah amat penting demi memastikan Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang tinggi integritinya,” katanya.

Jais berkata, setiap hari pihaknya akan viralkan berita, isu dan informasi berkaitan rasuah bagi mewujudkan kesedaran rakyat tentang bahaya rasuah, selain menunjukkan komitmen MCW dalam mendokong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan gerakan pencegahan rasuah.

"Bagi MCW, setiap hari ada sahaja berita, informasi dan pendidikan anti rasuah yang kami uar-uarkan melalui media sosial yang hanya mampu mencapai setakat 5,000 orang.

"Melalui platform ini, kami berharap segala yang diviralkan mungkin boleh dijadikan satu segmen khas di dalam akhbar Sinar Harian,” katanya.

Apabila ditanya mengenai jaminan pihak berkuasa sekiranya rakyat tampil menyalurkan maklumat berhubung salah laku perasuah dan penyalahgunaan kuasa, beliau berkata, ganjaran seperti wang ringgit sememangnya gagal menarik minat mereka.

"Ini kerana mereka lebih mengutamakan soal keselamatan diri, keluarga dan masa depan kerjaya, selain bimbang akan menjadi sasaran pihak yang melakukan kesalahan tersebut,” katanya.

Katanya, ganjaran juga bukan jalan penyelesaian yang sihat.

Beliau mengakui, rakyat sepatutnya didedahkan dengan budaya sukarelawan dan kesanggupan untuk memelihara integriti diri dan juga jabatan.

Dalam perkembangan sama, beliau menyarankan agar Sinar Harian melaksanakan program pendidikan berkenaan rasuah dan salah guna kuasa.

ARTIKEL BERKAITAN Gerakan memulihkan moral bangsa