MELAKA - Sebanyak 1,596 permohonan merentas daerah dan negeri diluluskan Polis Diraja Melaysia (PDRM) sepanjang empat hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shahrul Lalli Masduki berkata, kesemua yang diberikan kelulusan telah mengemukakan dokumen atau sebab yang kukuh termasuk urusan kerja, menghantar anak ke institusi pengajian tinggi dan kecemasan sama ada melawat warga emas yang sakit atau mendapatkan rawatan perubatan.
Menurutnya, dalam tempoh itu juga sebanyak 17,392 buah kenderaan telah diperiksa dan 74 daripadanya diarahkan berpatah balik.
Katanya, selepas tiga hari bermula PKP 2.0 Rabu lalu, polis telah menjalankan penguatkuasaan dengan lebih tegas membabitkan pemeriksaan di kesemua 15 sekatan jalan raya (SJR) tetap di negeri ini dan 11 SJR bergerak (mobile).
"Kenderaan yang diarahkan berpatah balik kerana gagal mengemukakan dokumen kebenaran merentas daerah atau negeri dan tiada alasan kukuh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas meninjau pemeriksaan SJR di Tol Ayer Keroh, di sini, pada malam Sabtu.
Hadir sama, Komander Artileri 3 Divisyen, Brigedier Jeneral Datuk Noor Sazali Puteh dan Komander Rejimen 514 Askar Wataniah, Brigedier Jeneral Datuk Yusof Jantan.
Tambahnya, keadaan lengang pada waktu malam di beberapa lokasi termasuk di Tol Ayer Keroh menunjukkan pematuhan orang ramai terhadap Prosedur Operasi standard (SOP) di negeri ini masih tinggi walaupun kebanyakan sektor telah dibenarkan beroperasi berbanding PKP tahun lalu.
"Kita dapat anggarkan pematuhan rakyat negeri ini 95 peratus dan setakat ini juga belum yang dikenakan kompaun di SJR," katanya.
Sementara itu, Noor Sazali berkata, seramai 181 pegawai dan anggotanya telah ditempatkan di 15 SJR bagi membantu PDRM mengawal pergerakan keluar masuk kenderaan di negeri ini.
"Sebanyak 15 buah kereta peronda (MPV) digerakkan untuk memantau pergerakan orang awam dan kita sentiasa bersedia untuk meningkatkan jumlah penguat kuasa mengikut keperluan," katanya.
Dalam pada itu Shahrul Lalli turut membuat tinjauan di SJR Tol Simpang Ampat Alor Gajah.