PENGENDALI Newcastle, Steve Bruce mengharapkan skuad kendaliannya itu mampu memberikan saingan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Arsenal di Emirates pada awal pagi Isnin.
Menurut Bruce, biarpun masih segar dengan ‘kegagalan’ dalam saingan Piala FA Inggeris kepada lawan di gelanggang sama apabila tewas 0-2 pada pusingan ketiga 10 Januari lalu, skuad The Magpies itu perlu beraksi sebaik mungkin untuk sekurang-kurangnya ‘mengembalikan maruah’ pasukan.
"Saya telah menurunkan pemain yang ‘salah’ pada saingan Piala FA lalu dan saya mengakui ia adalah kesalahan saya dan menerima kritikan yang dilemparkan.
"Namun saya akan tetap terus mencuba untuk memperbaiki kedudukan pasukan sebagaimana yang saya lakukan apabila Newcastle berada pada kedudukan tercorot selama pertengahan musim EPL sebelum ini,” katanya.
Untuk rekod, setelah tewas kepada Arsenal dalam saingan Piala FA Inggeris, The Magpies kemudianya tewas 0-1 kepada kelab tercorot EPL ketika ini, Sheffield United dan ini dilihat semakin menambahkan kemarahan penyokong.
Kekalahan berkenaan menyaksikan Newcastle kini berada pada kedudukan ke-15 EPL, dengan 19 mata hasil lima kemenangan, seri empat kali dan tewas lapan kali daripada 17 perlawanan.
Sementara itu, Bruce berkata, dia memahami kekecewaan dan kemarahan penyokong ketika ini dan akan mencuba sedaya upaya bagi menjamin kejayaan skuad The Magpies itu pada aksi berdepan The Gunners.
Malah katanya, dia juga telah mengadakan perbincangna lanjut dengan pihak pengurusan berhubung perkara berkenaan.
"Saya sudah lali dengan kritikan sejak hari pertama bergelar jurulatih; dan apa yang boleh saya lakukan adalah menerimanya.
"Saya juga tidak boleh terlalu tertekan dengannya (kritikan), tetapi sebaliknya terus berusaha bagi memastikan kejayaan pasukan,” katanya.