KUALA TERENGGANU - Dua suspek lelaki berusia 25 dan 30 tahun diburu dipercayai terbabit dalam kes mencuri motosikal di Chabang Tiga, di sini, dan pecah masuk bangunan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Gong Badak, Kuala Nerus.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, suspek pertama yang diburu dikenali Khairul Azmizan Azmal, 25, yang terlibat dalam kes curi motosikal di hadapan Cyber Cafe Tanjung Gaming, Chabang Tiga, di sini, yang dilaporkan berlaku pada 17 November lalu.
"Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran mendapati suspek dipercayai mencuri motosikal jenis Yamaha 125Z bersama seorang lagi rakannya, dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu.
"Suspek yang memiliki empat rekod jenayah lampau termasuk tiga kes mencuri motosikal dan satu kes di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) memang menyasarkan motosikal jenis Yamaha 125Z dan akan menjualnya dengan harga RM1,000 ke RM1,500 untuk diambil kompenan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Suffian berkata, suspek yang beralamat dari Kampung Tok Kaya, Chabang Tiga, di sini juga dikesan menggunakan besi elengki serta besi T yang sudah diubah suai untuk menjalankan kegiatan itu dan bergerak secara berkumpulan.
"Dia yang dipercayai antara individu paling aktif dalam jenayah ini bagaimanapun agak licik kerana setiap kali mendapat tahu dirinya diburu polis, dia akan mengambil pendekatan menyerah semula motosikal dicuri itu.
"Tetapi biasanya dia akan meletak semula kenderaan dicuri di tepi jalan di tempat lain yang berhampiran dengan lokasi sebenar dia mengambilnya sebelum itu," katanya.
Suspek kini diburu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun, jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, Suffian berkata, seorang lagi lelaki dikenali Mohd Faizol Mamat, 30, dari Kubang Badak, Kuala Nerus, dicari kerana disyaki terlibat dalam tiga kejadian pecah pejabat UMT yang dilaporkan pada 13 Oktober, 4 dan 12 November lalu.
Suffian berkata, siasatan di ketiga-tiga lokasi mendapati kesemua lokasi tidak mempunyai rakaman CCTV bagi membantu siasatan, bagaimanapun hasil analisa ke atas cap jari yang berjaya ditimbulkan di tempat kejadian dikenalpasti atas penama suspek.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati suspek yang memiliki rekod jenayah pecah bangunan sebelum ini malah pernah menerima hukuman kerana kesalahan itu menggunakan modus operandi masuk ke dalam pejabat melalui tingkap cermin sliding yang tidak mempunyai grill.
"Selain itu, siasatan juga mendapati suspek masuk ke dalam pejabat dengan cara mengumpil kunci pintu pejabat yang tidak mempunyai grill.
"Dia masuk ke dalam pejabat dan menggeledah setiap laci meja staff yang ada di dalam pejabat dan mengambil barang-barang berharga seperti wang tabung serta lain-lain barang," katanya.
Jelasnya lagi, siasatan lanjut juga mendapati suspek antara individu paling aktif menjadikan pusat pengajian tersebut sebagai 'lubuk' rezeki dan pada tahun lepas sahaja, dia memiliki tiga rekod jenayah pecah bangunan UMT yang dilaporkan.
Suspek yang tidak memiliki sebarang pekerjaan itu kini diburu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah bangunan pejabat yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.
Polis buru lelaki curi motor, pecah masuk UMT
Iklan