Wartakan tempat bersejarah sebagai warisan: MB Kedah

Iklan
Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan agar semua tempat bersejarah dalam negara diwartakan bawah Akta Warisan dan dikendalikan oleh Jabatan Warisan Negara.

Menurut beliau, ini kerana tempat bersejarah memerlukan peruntukan khas untuk memulihara kawasan terlibat agar ia terus terpelihara sebagai artifak dan aset sejarah negara.

Iklan
Iklan

"Perlu ada peruntukan khas bagi menjaga dan mengawal selia tempat atau struktur sejarah. Kos pemuliharaan amat tinggi selain perlu diselenggara secara berkala bagi mengurangkan kerosakan akibat dimamah usia.

"Kerajaan negeri tidak mampu menyediakan peruntukan besar untuk memulihara khazanah berharga ini, namun negeri boleh mewartakan ia sebagai warisan negeri selain memastikan ia terpelihara selepas dinaik taraf,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah antara negeri yang memiliki banyak tempat, struktur, monumen, artifak bersejarah yang sebahagiannya dikawal selia bawah Jabatan Warisan.

"Ada banyak struktur dan monumen penting di seluruh negara telah diletakkan bawah Akta Warisan melalui warta kerajaan. Antaranya, Tapak Arkeologi Sungai Batu, yang sehingga kini masih belum dibangunkan sepenuhnya,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan khas Sinar Harian berhubung bangunan Galeri Putera yang menjadi saksi sejarah Rundingan Baling pada tahun 1955 antara Kerajaan Perikatan dengan Parti Komunis Malaya (PKM) terabai dan semakin usang.

Galeri yang terletak di salah satu bangunan Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, Baling itu menempatkan ruang pameran peralatan sejarah serta bilik rehat pemimpin PKM, Chin Peng dan Rashid Maidin dalam keadaan daif walaupun Sinar Harian pernah mendedahkan kerosakan tempat warisan itu tiga tahun lalu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berharap peninggalan bersejarah itu segera dipulihkan untuk tatapan generasi kini.

"Kita sepatutnya bangga dengan warisan sejarah khususnya yang melibatkan negeri kita, ia bukan bawah tanggungjawab kerajaan semata-mata, namun perlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat agar lebih prihatin dan memastikan ia terpelihara,” katanya.

Katanya, walaupun ia bawah seliaan Jabatan Warisan, pihaknya akan meminta Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) meneliti keperluan segera dan melakukan kajian bagi memastikan warisan itu ‘Tak Lapuk Dek Hujan Tak Lekang Dek Panas’.