Bomba sukarela bantu sanitasi sekolah

Iklan
Kok Yew (tiga, kanan) bersama sebahagian anggota bomba sukarela yang melakukan proses nyah cemar di sekolah.

ALOR SETAR - Prihatin terhadap usaha memerangi penularan wabak Covid-19 yang masih belum reda, Pasukan Bomba Sukarela di negeri ini turut turun padang membantu menjalankan operasi sanitasi di tempat awam.

Meksipun berdepan kekangan, namun pasukan ini tidak mahu ketinggalan membantu petugas barisan hadapan memerangi pandemik dengan menjalin kolaborasi bersama Pusat Komuniti Derga.

Iklan
Iklan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Tan Kok Yew berkata, proses nyah cemar itu dikendalikan oleh Unit Tindak DAP dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarelawan Alor Mengkudu.

"Pada Jumaat, proses sanitasi dijalankan di enam sekolah di Parlimen Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah, Padang Terap dan Pendang, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Datuk Kumbar, Sekolah Menengah Keat Hwa (Persendirian), Sekolah Menengah Keat Hwa II, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keat Hwa K, SJKC Kou Hua dan SJKC Yeang Cheng,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, sebelum itu, proses sanitasi turut dilakukan di 16 sekolah di sekitar Kulim, Bandar Baharu dan Padang Serai.

Kok Yew (kanan) membantu menyediakan cecair pembasmi sebelum proses sanitasi bermula.

"Mana-mana sekolah yang memerlukan khidmat sanitasi premis boleh menghubungi Pusat Komuniti Derga untuk menetapkan tarikh sesuai bagi membolehkan proses nyah cemar itu dilaksanakan.

Iklan

"Kesemua kos terbabit akan ditanggung Pusat Komuniti Derga dan kami bersedia tawarkan khidmat ini jika ada sekolah yang mohon,” katanya.

Kok Yew yang juga Pengerusi DAP Kedah berkata, usaha itu adalah antara sumbangan pihaknya untuk kesejahteraan masyarakat setempat agar negara kembali bebas daripada ancaman Covid-19.

"Ini hanyalah sumbangan kecil untuk rakyat Kedah yang terkesan dengan pandemik ini selain membantu meringankan beban anggota bomba yang saban hari turun padang melakukan proses sanitasi,” katanya.

Tambah beliau, untuk program berkenaan, cecair pembasmi yang digunakan adalah sekitar 20 hingga 60 liter bergantung kepada keluasan sekolah.

"Untuk enam sekolah terbabit, kami gunakan lebih kurang 240 liter dan kesemua bangunan sekolah telah selesai dilakukan proses nyah cemar dalam tempoh sehari,” katanya.