KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu akan mengagihkan bantuan kecemasan sekali bayar sebanyak RM500 kepada mangsa banjir di negeri ini pada pertengahan Februari.
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, bayaran akan diberikan selepas kesemua data mangsa banjir yang terjejas terutamanya mereka yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) diperoleh.
"Kita kini dalam proses mengemas kini data mangsa banjir. Pada peringkat awal kita jangka akan buat pembayaran bagi bantuan ini pada pertengahan Januari iaitu 15 Januari namun terpaksa ditangguhkan disebabkan ketika itu kita berdepan dengan banjir gelombang kelima.
"Jika tiada berlaku banjir selepas ini, kita jangka akan agihkan bantuan itu sekitar minggu pertama atau kedua Februari iaitu pada 15 Februari. Kita harap ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung kesemua mangsa banjir di negeri ini,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau yakin kesemua mangsa banjir di negeri ini telah memperoleh bantuan berupa barangan keperluan asas seperti barangan dapur dan keperluan isi rumah.
"Hampir kesemua mangsa banjir telah diagihkan bantuan barangan basah bagi keperluan dapur dan barangan kering untuk keperluan isi rumah disalurkan oleh pelbagai pihak yang tampil membantu termasuk jabatan, agensi kerajaan, orang perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Bagi mewakili kerajaan negeri, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang tampil bagi membantu meringankan bebanan yang ditanggung kesemua mangsa banjir ini,” katanya.
Berdasarkan statistik, seramai 32,581 mangsa daripada 8,226 buah keluarga dilaporkan terjejas dan telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi lima fasa gelombang banjir di Terengganu.
Gelombang pertama banjir di Terengganu telah bermula pada 17 hingga 19 November 2020 manakala gelombang kedua bermula pada 23 November hingga 2 Disember tahun lalu.
Gelombang ketiga banjir pula pada lewat malam 2 hingga 9 Disember disusuli gelombang keempat berlaku pada 17 Disember dan berakhir pada 23 Disember manakala gelombang kelima banjir pula telah bermula pada 3 Januari dan berakhir pada 11 Januari 2021.