214 individu kini ditempatkan di PKRC di Kelantan

Iklan
Dr Zaini Hussin

KOTA BHARU - Seramai 214 individu kini ditempatkan di dua ‘hospital lapangan’ atau lebih dikenali sebagai Pusat Kuarantin Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang disediakan oleh kerajaan Kelantan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sehingga semalam PKRC terlibat adalah di Dewan Jubli Perak (DJP) yang kini menempatkan seramai 103 pesakit, dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di sini dengan 111 pesakit.

Iklan
Iklan

Antara PKRC yang disediakan adalah di Dewan Jubli Perak, Institut Latihan KKM, Hospital Kuala Krai (HKK Lama), Pusat Latihan Tumpat, Dewan Sivik Gua Musang (DSGM), dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK).

"Buat masa ini hanya dua PKRC sudah beroperasi iaitu DJP dan ILKKM, manakala DSGM dan PUTIK kini dalam proses persediaan untuk dibuka.

Iklan

Keseluruhan PKRC yang disediakan boleh memuatkan seramai 630 pesakit berdasarkan jumlah katil,” katanya ketika dihubungi, pada Ahad.

Jelasnya, individu yang ditempatkan di PKRC adalah yang berisiko rendah, namun mereka dikuarantin dan dipantau selepas ujian calitan dilakukan kerana menjadi kontak rapat.

Iklan

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata ada seramai 290 pesakit yang kini dirawat di lima buah hospital yang berstatus ‘Hospital Covid-19’ iaitu 86 orang di Hospital Tumpat, Hospital Kuala Krai (Lama) (111), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) (69), Hospital Sultan Ismail Petra (7) dan Hospital Jeli (17).

Beliau berkata, pada mada ini empat buah hospital sudah menunjukkan penggunaan sehingga 70 peratus daripada jumlah katil yang disediakan.

Unit Rawatan Rapi (ICU) di HRPZII juga kini sudah menunjukkan penggunaan sebanyak 75 peratus, manakala di HSIP pula sebanyak 40 peratus.

"Bagi pesakit bawah pengawasan pula, ada seramai 12 orang di Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh dan tujuh orang di Hospital Pasir Mas (HPM),” katanya. - Bernama