Terlalu banyak jasa Tun Salleh Abas buat negara: Lee Lam Thye

Iklan
Tun Dr Mohamed Salleh Abas

SHAH ALAM - Pemergian Bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Mohammed Salleh Abbas turut dirasai oleh Aktivis Sosial, Tan Sri Lee Lam Thye yang menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar buat negara.

Beliau berkata, terlalu banyak jasa arwah Mohammed Salleh dalam bidang perundangan serta aspek keharmonian Malaysia.

Iklan
Iklan

"Beliau yang merupakan bekas Peguam Cara Negara yang kemudiannya dilantik menjadi Lord President (kini Ketua Hakim Negara) di Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan) merupakan pengamal undang-undang yang sangat berkaliber.

"Terlalu banyak jasa arwah dalam bidang perundangan seperti beliau sendiri yang mendraf Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 dan juga turut menulis pelbagai buku perundangan.

Iklan

"Selain itu, beliau juga tidak pernah gagal dalam memastikan bahawa kuasa kehakiman sentiasa dilaksanakan secara adil demi kepentingan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Lam Thye, jasa arwah dalam mempromosikan keharmonian sejak 1970 juga tidak boleh dilupakan selaku penulis dan orang yang mendraf naskah asal rukun negara yang digunakan sebagai identiti nasional sehingga ke hari ini.

Iklan

"Semoga arwah diberikan pengakhiran yang baik dan semoga rohnya dicucuri rahmat atas segala pengorbanan serta jasanya yang tidak terkira kepada rakyat dan negara.

"Saya mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga arwah, semoga diberikan kesabaran dan ketenangan atas pemergian ini," katanya.

Mohamed Salleh Abas, 91, menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.20 pagi Sabtu di Hospital Sultanah Raja Nurzahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Terengganu.

Sebelum itu media melaporkan Allahyarham Mohammed Salleh yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Bhd disahkan positif Covid-19 dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ.