SEMALAM anak buah Merak Jalanan yang sepatutnya masuk Tahun 4 pada 20 Januari ini mengeluh.
Merak Jalanan pun hairan dan bertanya kenapa."Sekolah tunda lagi. Kena sekolah kat rumahlah jawabnya,” katanya dengan nada kecewa.
Merak Jalanan faham kekecewaannya. Tahun 2020 seolah-olah tidak ada sesi persekolahan. Sekejap ada, sekejap tidak.
Semuanya gara-gara Covid-19. Mahu atau tidak, kita terpaksa menerimanya dengan terbuka.
Oleh kerana itu, dia begitu teruja untuk kembali ke sekolah pada 2021. Rindu nak berjumpa guru, rindu bermain dengan rakan-rakan. Tetapi nampaknya, harapan itu masih tidak menjadi kenyataan. Pelajar harus kekal di rumah selagi wabak tak reda.
Pada Sabtu, Kementerian Pendidikan mengumumkan sesi persekolahan pada 20 Januari ditangguhkan berikutan keadaan semasa jangkitan Covid-19.
Hanya yang mengambil peperiksaan sahaja boleh ke sekolah.
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama bermula pada bulan Mac tahun lepas, hanya berapa hari sahaja mereka ke sekolah. Pelajaran mereka terganggu.
Merak Jalanan yang baru dua minggu bekerja dari rumah atau WFH pun rimas, inikan budak-budak yang terperap di rumah tak keluar-keluar. Memang perlu mengikuti norma baharu tetapi mereka kehilangan masa yang sangat berharga di sekolah.
Tambahan pula belajar di rumah banyak gangguan berbanding di sekolah termasuklah dari segi fokus dalam pelajaran. Merak Jalanan tak tahu sampai bila keadaan ini akan berlarutan tetapi entahlah...
Kementerian Pendidikan mungkin telah mencuba yang terbaik tetapi mereka juga memikirkan tentang keselamatan banyak pihak terutama pelajar.
Nampaknya anak buah Merak Jalanan itu terpaksalah simpan pakaian sekolah yang sudah siap digosok ke dalam almari semula.