Masih terlalu awal buat rumusan

Iklan
V Shem dan Wee Kiong muncul satu-satunya wakil Malaysia yang beraksi di pentas final Terbuka Thailand di Bangkok pada Ahad.

MUNGKIN masih terlalu awal untuk membuat penilaian prestasi keseluruhan barisan pemain negara yang beraksi pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand 2021 di Bangkok.

Selepas hampir setahun tidak beraksi pada perlawanan kompetitif, para pemain negara kembali membuat kemunculan di pentas antarabangsa dengan Terbuka Thailand 2021 menjadi medan ujian sulung.

Iklan
Iklan

Gandingan beregu profesional lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong muncul satu-satunya wakil Malaysia yang beraksi dalam perlawanan akhir di Impact Arena pada Ahad.

Bagaimanapun, impian V Shem-Wee Kiong meraih kejuaraan sulung tahun ini tidak kesampaian apabila mereka tewas 16-21, 23-21, 19-21 kepada beregu nombor tujuh dunia, Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan.

Iklan

Bagi Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, belum tiba masanya beliau membuat kesimpulan tentang prestasi keseluruhan barisan pemain negara hanya bersandarkan kepada satu kejohanan.

Sebaliknya, Mohamad Norza mahu menunggu sehingga berakhirnya satu lagi kejohanan di negara jiran itu - Terbuka Thailand Toyota yang bermula 19 Januari ini.

Iklan

"Pertamanya saya ingin mengucapkan tahniah kepada beregu profesional negara, V Shem dan Wee Kiong yang berentap sehingga peringkat akhir walaupun terpaksa akur tewas kepada lawan mereka.

"Bagi pencapaian pemain negara khususnya (di bawah naungan) BAM, saya gembira melihat peningkatan prestasi yang ditunjukkan beregu muda, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin (Rumsani).

"Apa pun saya tidak mahu membuat penilaian keseluruhan berkaitan prestasi pemain. Kita tunggu dulu Terbuka Thailand Toyota yang bermula minggu ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada masa sama, Mohamad Norza berharap semua pihak khususnya peminat badminton Malaysia agar tidak memberikan tekanan kepada jaguh perseorangan, Lee Zii Jia.

Zii Jia yang dicanang-canang sebagai pengganti terbaik Datuk Lee Chong Wei dilihat agak bergelut untuk menampilkan prestasi terbaiknya pada kejohanan tersebut.

Langkah Zii Jia pada Terbuka Thailand kali ini tersekat di peringkat suku akhir selepas dia tewas di tangan pemain handalan Taiwan, Chou Tien Chen.

"Ada yang menyatakan bahawa dengan prestasi semasa Zii Jia, bagaimana dia mahu menjadi pengganti Datuk Lee Chong Wei. Ramai yang resah melihat prestasi Zii Jia.

"Tetapi dia baru berusia 22 tahun... jadi sebaiknya lebih baik kita beri dia masa. Chong Wei dulu benar-benar mencapai kegemilangan pada usia 25 tahun,” ujarnya.