Percutian keluarga berakhir tragedi

Iklan

MERU - Percutian sembilan sekeluarga berkelah di kawasan air terjun berhampiran Kawasan Perindustrian Ringan Silibin 1 di sini, semalam berakhir dengan tragedi apabila dua daripadanya ditemui lemas.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, mangsa, K Guganeswaran, 23, dan V Vikneswaran, 20, telah mandi di lubuk mempunyai kedalaman dua meter sempat meminta tolong sebelum dilihat tenggelam.

Iklan
Iklan

Salah seorang ahli keluarga yang menyaksikan kejadian itu bertindak turun dengan berjalan sejauh 4km untuk mendapatkan bantuan daripada penduduk bagi menghubungi pasukan penyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Sharudi Muhamad Halil berkata, sepasukan 10 anggota dibantu lapan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Ipoh bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.02 petang.

Iklan

"Tibanya di lokasi, anggota perlu berjalan selama 40 minit merentas hutan untuk tiba di lokasi kejadian.

"Kita membuat penilaian risiko mendapati keupayaan pencarian permukaan pada kedalaman dua meter itu tidak berbahaya.

Iklan

"Pasukan PPDA melakukan selaman hampir 10 minit sebelum menemui kedua-dua mangsa di tengah lubuk air terjun itu pada jam 7.30 malam,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil langkah keselamatan untuk mengusung keluar kedua-dua mayat mangsa.

"Ia berikutan keadaan sepanjang perjalanan yang curam dan berbatu licin. Dengan menggunakan lampu suluh, operasi membawa keluar mayat mangsa bermula pada jam 9 malam.

"Mayat pertama selamat diserahkan kepada pihak polis pada jam 10.40 malam dan diikuti mayat kedua 10 minit kemudiannya,” katanya yang tamat operasi pada jam 12.05 tengah malam.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.