KLANG - Polis merampas minuman keras seludup bernilai lebih RM100,000 dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Jalan Telok Gadung, di sini pada Ahad.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, operasi kira-kira jam 2 petang oleh sepasukan anggota Batalion 4 PGA Semenyih itu bertindak menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun.
"Susulan itu, pemeriksaan lanjut menemui 452 kotak minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM100,356 di dalam dua buah lori di lokasi terbabit serta rumah kedai tersebut.
"Dengan tertangkapnya suspek berserta rampasan tersebut, pihaknya percaya telah menumpaskan sindiket pengedaran minuman keras di Klang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, suspek dan barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Klang untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Justeru, pihaknya menyeru orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkenaan sebarang aktiviti jenayah untuk tindakan undang-undang.