JAWA - Meskipun dipenuhi tatu pada wajah, tidak menjadi penghalang buat seorang pemuda menjadi tetamu ALLAH dengan mengunjungi masjid setiap hari di kampung Semarang, Jawa, Indonesia.
Pemuda berusia 21, bernama Ahmad Nur Kusuma Yuda lebih dikenali sebagai Yuda, lapor Kompas.
Susuk wajahnya kelihatan menyeramkan namun ketika bertutur suaranya lembut.
Yuda dilahirkan di Tangerang memberitahu, memiliki tatu itu sejak kecil lagi ketika zaman nakalnya.
"Semasa di sekolah rendah, saya pelajari pendidikan agama dan tinggal asrama. Namun melarikan diri kerana berasa terkongkong.
"Saya pulang ke rumah, akhirnya terjebak dengan aktiviti tidak bermoral dan menyertai kumpulan punk.
"Waktu itu, saya gemar cuba benda baru. Saya merantau ke Semarang, kemudian ke Jakarta. Terus ke Merauke, Bali dan Aceh. Di Bali pernah mahu menjadi tukang tatu," katanya.
Namun pada Ramadan tahun lalu, semuanya berubah apabila dia seolah tersedar dari mimpi.
"Semasa bulan Ramadan, saya mula merenung masa hadapan saya. Kemudian terdetik untuk berubah menjadi insan lebih baik.
"Walaupun sekarang telah memilih untuk berhijrah, saya tidak berniat untuk membuang tatu.
"Saya tidak menyesal, kerana itu zaman kejahilan saya. Apa yang utama, saya telah kembali ke jalan yang benar," ujarnya.
Yuda kini tinggal di Semarang bersama keluarganya mengakui proses perubahan dalam dirinya tidak mudah dan penuh dengan rintangan.
"Semasa datang ke masjid, orang ramai kelihatan takut dan pandang serong dengan saya. Namun lama kelamaan, akhirnya, kira-kira sebulan mereka sudah mulai terima," katanya.
Kini Yuda membantu menguruskan Masjid Jami Al-Istiqomah, Jalan Kusuma Wardani, Pleburan.
"Saya mahu dekat dengan ALLAH, bersolat. Saya juga mendalami ilmu agama dan sedang menghafal 24 juzuk al-Quran.
"Dapat juga bertemu dengan para pendakwah untuk mempelajari ilmu dakwah," katanya.