SHAH ALAM - Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat keputusan saat akhir untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) menyebabkan ibu bapa berdepan dengan pelbagai masalah.
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Wilayah Persekutuan, Dr Niekmah Adam berkata, perubahan di saat akhir tersebut telah menimbulkan perasaan cemas dan kelam-kabut serta memberikan pelbagai reaksi kepada ibu bapa, guru mahu pun murid.
Tambahnya, pemberitahuan tersebut menyebabkan ibu bapa tidak dapat membuat persediaan pembelajaran secara dalam talian kerana pergerakan yang terhad.
"Ibu bapa telah mengorbankan wang ringgit untuk persediaan ke sekolah secara fizikal dengan membeli pakaian sekolah baru, malah bagi yang mempunyai anak-anak di asrama, segala keperluan asrama juga telah disediakan.
"Berkemungkinan dengan sesi persekolahan dalam talian sahaja, segala persediaan ini akan menjadi pembaziran kerana anak-anak membesar dengan cepat dan mungkin tidak padan lagi bila sekolah fizikal betul-betul dibuka.
"Negara kita sudah hampir setahun menghadapi wabak Covid-19, seharusnya sudah mahir membuat perancangan awal dan bukannya mengubah keputusan saat akhir yang menyusahkan banyak pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Niekmah, sebagai menteri di portfolio pelajaran yang mengetuai golongan cerdik pandai, Mohd Radzi sepatutnya merancang dengan lebih bijak.
Katanya, Menteri Pendidikan sepatutnya menjawab segala keluhan berkenaan isu yang timbul dan memberikan penyelesaian yang baik.
Turutnya, antara isu yang berbangkit ialah berkenaan ketiadaan buku teks digital yang masih belum mendapat capaian ramai murid atau peralatan untuk berkomunikasi secara maya.
"Dalam hampir setahun yang lepas, murid-murid terutamanya di luar bandar, Sabah dan Sarawak, seolah-olah tidak bersekolah kerana kekurangan kemudahan digital yang mengganggu pelajaran sehingga ada pelajar yang terpaksa memanjat pokok untuk mengambil peperiksaan dalam talian.
"Terdapat isu kemasukan pelajar baharu, isu pelajar asrama serta isu kekurangan bahan belajar dan lain-lain, namun ia dibiarkan sepi dan tinggalah guru, ibu bapa dan pelajar yang bertungkus-lumus untuk mengatasi cabaran atas inisiatif sendiri," katanya.
Selain itu, Awan turut mengharapkan Menteri Pendidikan bersikap lebih bijak dengan mengelak sikap tidak terancang dan membuat kenyataan di saat akhir.
Tambahnya, Awan juga menggesa Kementerian Pendidikan menyediakan plan tindakan secepat mungkin untuk membantu menjawab segala masalah dan keluh kesah berkaitan pendidikan sebelum pembelajaran secara PdPR bermula 20 Januari ini.