Warga emas maut kereta terbabas masuk longkang

Iklan
Keadaan kenderaan dinaiki mangsa yang terbabas ke dalam longkang setelah terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang petang pada Ahad. - Foto INFO BENCANA PAHANG LUAR PAHANG

KUANTAN - Seorang wanita warga emas maut selepas kenderaan dinaiki bersama tiga yang lain terbabas memasuki longkang ketika cuba mengelak sebuah motosikal di Batu 6, Jalan Kuantan- Gambang di sini pada petang Ahad.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.30 petang itu, mangsa, Osnah Hussin, 62, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, pemandu kereta jenis Volvo S40, Zanariah Hussin, 52, cedera di dada manakala seorang lagi penumpang, Zatul Fitrah Zakaria, 16, cedera di dahi dan patah kaki kanan.

Menurutnya, penunggang motosikal jenis Honda EX5, Mohamad Rizza Othman, 41, cedera di kepala dan kaki.

Iklan

"Berdasarkan siasatan awal di lokasi, kemalangan berlaku ketika kereta dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Gambang. Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta cuba mengelak sebuah motosikal yang memasuki laluan dari susur kiri secara mengejut.

"Dalam kejadian itu, dua kenderaan tersebut telah bergesel menyebabkan kereta dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas masuk ke longkang berhampiran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Kamarulzaman berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.

Menurutnya, kemalangan meragut nyawa warga emas itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.