SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan memperkenalkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pakej rangsangan itu sebagai tambahan kepada bantuan sedia ada susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini.
Menurutnya, sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah Pakej Bantuan Permai yang berteraskan kepada tiga matlamat utama.
"Matlamat pertama adalah memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
"Kerajaan telah berkali-kali membuktikan bahawa kita tidak akan berkompromi di dalam memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.
"Maka, sukacita saya ingin umumkan pada hari ini (Isnin), sebuah pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia, atau secara ringkasnya, Permai yang bernilai sebanyak 15 bilion," katanya pada Pengumuman Khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang disiarkan secara langsung pada Isnin.
Muhyiddin berkata, secara amnya, Pakej Bantuan Permai menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan.
"Semenjak bermulanya penularan wabak Covid-19 awal tahun lepas, kerajaan telah melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM305 bilion atau lebih 20 peratus daripada KDNK bagi membantu rakyat dan perniagaan dan juga melindungi ekonomi kita.
"Pakej-pakej rangsangan ekonomi ini telah melibatkan RM55 bilion suntikan fiskal oleh kerajaan," katanya.
Katanya, melalui pemantauan oleh Agensi Laksana di bawah Kementerian Kewangan, beliau turut dimaklumkan bahawa usaha pelaksanaan oleh 53 kementerian dan agensi-agensi kerajaan telah memastikan lebih 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan menerima manfaat langsung daripada pakej-pakej rangsangan ekonomi tersebut.