Bot karam: Nelayan hilang, seorang lagi terselamat

Iklan
Anggota Maritim Malaysia bersama pasukan penyelamat lain ketika melakukan operasi pencarian mangsa bot karam di perairan Kuala Abai, Kota Belud. Gambar kecil: Datuk Mohd Rosli Abdullah

KOTA KINABALU - Seorang nelayan hilang manakala seorang lagi terselamat selepas bot yang mereka naiki karam dalam kejadian di perairan Kuala Abai, Kota Belud pada pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, kedua-dua nelayan terbabit difahamkan menaiki bot jenis gentian kaca, namun cuaca yang buruk dipercayai menyebabkan bot terbalik dan karam.

Iklan
Iklan

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) jam 12 tengah hari.

"Maklumat diterima dari Pengkalan Hadapan Operasi National Task Force (NTF) Teluk Usukan bahawa bot yang dinaiki dua nelayan karam.

Iklan

"Seorang mangsa dilaporkan selamat, bagaimanapun butiran mangsa masih belum diketahui," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Mohd Rosli berkata, kejadian terbaharu itu adalah yang ketiga dalam tempoh kurang daripada seminggu ekoran keadaan cuaca yang buruk di negeri ini.

Iklan

"Rekod bagi Januari tahun ini, MRSC Kota Kinabalu telah mengaktifkan enam operasi SAR meliputi tiga di perairan Sandakan dan satu masing-masing di perairan Karambunai dan Semporna.

"Terdapat mangsa yang masih belum ditemui seperti kes yang berlaku di Sandakan dan operasi masih dijalankan bagi mengesan serta mencari mangsa yang hilang.

"Keadaan cuaca yang buruk ini turut menyukarkan usaha mencari dan kebanyakan kejadian bot karam adalah disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk serta laut yang bergelora," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Rosli menyeru kepada komuniti maritim supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan mengutamakan keselamatan nyawa ketika melakukan aktiviti di laut.