JAKARTA - Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia meminta orang ramai yang tinggal di pesisir pantai di Manado tidak panik berikutan gelombang air atau ombak tinggi melanda kawasan itu pada Ahad.
Menurut Ketua Pusat Meteorologi Maritim BMKG, Eko Prasetyo, kenaikan air di pesisir Manado bukan disebabkan oleh ancaman tsunami, sebaliknya faktor cuaca yang melampau.
Katanya, kejadian kenaikan air laut yang menyebabkan banjir berlaku di pantai Manado pada Ahad itu adalah salah satu kejadian cuaca ekstrem yang berlaku di wilayah Indonesia.
"Jadi orang ramai tidak perlu panik dan tidak perlu bimbang, tetapi tetap berwaspada malah terus memantau maklumat cuaca terkini dari BMKG," kata Eko dalam kenyataan pada Isnin, lapor Liputan 6.
Eko menjelaskan, banjir yang melanda kawasan pesisir Manado dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk angin kencang.
"Angin kencang dengan kelajuan maksimum 25 knot memberi impak pada peningkatan ketinggian gelombang atau ombak di Laut Sulawesi di perairan utara Sulawesi Utara, perairan Kepulauan Sangihe-Kepulauan Talaud dan termasuk laut Maluku utara dengan ketinggian gelombang mencapai 2.5 meter hingga 4 meter.
"Pada masa sama, terdapat juga faktor keadaan air pasang maksimum di daerah Manado yang menunjukkan kenaikan air pasang maksimum harian setinggi 170 sentimeter (cm) hingga 190 cm dari permukaan laut pada jam 8 malam hingga 9 malam (waktu tempatan)," katanya.
Menurutnya, cuaca itu sebenarnya adalah fenomena semula jadi yang biasanya berlaku terutama ketika puncak musim hujan seperti ketika ini.
Namun, Eko meminta orang ramai untuk sentiasa waspada.
"Kami mendesak orang yang tinggal di kawasan pesisir untuk selalu waspada terhadap ancaman bahaya pesisir pantai ketika fasa pasang surut bertepatan dengan gelombang tinggi," katanya.