Polis tiada kuasa batal kompaun langgar SOP PKP

Iklan
Mior Faridalathrash ketika ditemui pemberita di Batu Gajah pada Isnin.

BATU GAJAH - Polis tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan kompaun yang dikenakan kepada orang awam atas kesalahan ingkar arahan dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, bidang kuasa mereka hanya tertakhluk sebagai agensi penguat kuasa yang diberi kuasa mengeluarkan kompaun sepertimana termaktub di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Iklan
Iklan

"Ini berbeza dengan kesalahan lalu lintas (Pol. 257) yang mana polis ada kuasa untuk membatalkan atau mengurangkan saman itu.

"Bagi kesalahan PKP ini, tugas polis hanya mengeluarkan kompaun jika berlaku pelanggaran SOP dan yang menentukan selanjutnya adalah Pejabat Kesihatan Daerah serta mahkamah.

Iklan

"Sekiranya mereka tidak berpuas hati atau merasakan tidak melakukan kesalahan, maka rayuan boleh dibuat di Pejabat Kesihatan Daerah.

"Pejabat Kesihatan kemudian akan mengeluarkan satu tarikh untuk mereka ini hadir ke mahkamah dan mereka bolehlah buat rayuan untuk dibicarakan. Dalam hal ini, pegawai polis yang mengeluarkan kompaun itu juga akan hadir untuk memberi keterangan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan warganet di Facebook yang mendakwa polis mempunyai kuasa untuk membatalkan kompaun PKP.

Isu berkenaan timbul selepas tular seorang remaja perempuan berusia 17 tahun tidak mampu untuk membayar kompaun RM1,000 yang dikenakan ke atasnya atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika bekerja di sebuah restoran di Taman Perpaduan, Tambun pada Sabtu lepas.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, polis perlu bertindak tegas terhadap sebarang pelanggaran SOP bagi membendung penukaran Covid-19 termasuk dalam aspek pemakaian pelitup muka.

"Ada kes yang pakai pelitup muka tetapi dalam keadaan tidak sempurna dan dibuka separuh, jadi tindakan kompaun tetap diambil.

"Kita sekarang sangat tegas, kadang-kadang mereka rasa mereka pakai pelitup muka, tetapi apabila tidak dengan cara yang betul. Itu sebenarnya satu kesalahan di bawah Akta 342," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu bergantung kepada media sosial atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti.

"Jika rasa tidak berpuas hati, boleh rujuk kepada agensi berkenaan supaya masalah itu dapat diselesaikan dengan cara terbaik," katanya.

Terdahulu, Mior Faridalathrash meninjau Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa lemas di Sungai Kinta di sini.

Operasi yang sudah masuk hari kelima itu masih belum menemui mangsa, Ahmad Amin Ismail, 58, yang dihanyutkan arus longkang selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Persiaran Klebang 11, Chemor.