BHOPAL - Seorang wanita didakwa memukul bayinya yang berusia lapan bulan hingga mati di daerah Ashok Nagar, India dengan mempercayai anak itu adalah seekor 'kambing'.
Menerusi laporan Time of India, Rashmi Lodhi, seorang penduduk kampung Churari telah ditangkap setelah ayahnya membuat laporan polis mengenai pembunuhan tersebut.
Anggota keluarga memberitahu polis, wanita berkenaan keluar rumah bersama bayi lelaki pada petang Sabtu.
Beberapa jam kemudian, dia pulang ke rumah dengan membawa bayi dalam keadaan berlumuran darah sambil berkata,"Dia adalah seekor kambing dan saya telah menghantar di tempat sepatutnya dia berada".
Polis mengatakan, ahli keluarganya panik dan mereka pada awalnya ingin menutup perkara itu.
Ibu Rashmi membungkus mayat itu dengan kain dan membawa bayi itu ke hospital dengan mendakwa dia jatuh ketika menuruni tangga.
Doktor mengisytiharkan bayi itu meninggal dunia di hospital dan menyerahkan mayat itu kepada keluarga.
Bagaimanapun, bapa Rashmi, Jankiprasad telah pergi ke balai polis pada pagi Ahad dan memberitahu polis tentang apa yang berlaku.
Mayat bayi berkenaan kemudian dihantar untuk bedah siasat dan sebilah kapak telah dirampas sebagai bahan bukti.
Hasil siasatan polis mendapati, wanita itu telah berkahwin dengan seorang lelaki bernama Laxman Lodhi dua tahun lalu dan mereka tinggal di Indore.
Rashmi kembali ke rumah orang tuanya di kampung Churari sekitar dua bulan yang lalu dan polis mengesyaki, wanita itu mengalami gangguan mental.