IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melancarkan platform khas aduan mengenai jalan berlubang untuk orang ramai menyalurkan maklumat di sekitar bandar raya ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, platform khas tersebut akan menggunakan aplikasi WhatsApp melalui nombor 017-4122113, URL shorturl.at/aekxT atau QR Code yang dibangunkan sendiri oleh MBI untuk kemudahan warga kota.
Menurutnya, warga bandar raya ini boleh melayari laman sesawang, Facebook, Instagram dan Twitter milik MBI untuk menggunakan platform berkenaan.
"Saya berharap warga Ipoh dapat menjadi mata dan telinga bagi membantu MBI untuk mengenal pasti kawasan 'pothole' dengan disertakan maklumat lokasi yang tepat serta sahih, seterusnya menyelesaikan masalah aduan ini dengan cepat dan berkesan.
ARTIKEL BERKAITAN: MBI jamin selesai aduan jalan berlubang tempoh 24 jam
"Dalam tempoh dua minggu, MBI akan memantau keberkesanan aplikasi ini dan akan membuat penambah baikan selepas mendapat respons daripada warga kota Ipoh," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Majlis pelancaran disempurnakan sendiri oleh Rumaizi di Dewan Azlan Shah, Tingkat 10, Bangunan MBI di sini pada Isnin yang turut dihadiri oleh Ahli Majlis, Setiausaha Bandaraya, pengarah kanan dan ketua jabatan MBI.
Sementara itu, Rumaizi berkata, aplikasi tersebut boleh dilayari mulai Isnin dan pihak MBI telah menyediakan maklumat dan tatacara penggunaan aplikasi berkenaan untuk membantu warga Ipoh bagi menyalurkan aduan.
Pada 9 Januari lalu, MBI memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah jalan berlubang dalam tempoh 24 jam daripada penemuan atau aduan kerosakan dibuat penduduk.
Menurut Rumaizi, komitmen itu diperkukuh menerusi peruntukan tambahan berjumlah RM200,000 yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi pelaksanaan kerja-kerja penampalan.