KLANG - Kesihatan pelawak veteran, Datuk Jamalai Shadat atau lebih dikenali sebagai Jamali Shadat, 78, yang dilaporkan merosot beberapa hari lalu, kini semakin pulih.
Menurut anaknya, Fauzi Jamalai, 48, sejak tiga hari lalu, ayahnya tidak mahu menjamah sebarang makanan dan hanya terbaring terlantar di atas katil.
Malah, Fauzi berkata, dia juga terpaksa memanggil doktor ke rumahnya di Pulau Indah di sini bagi melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas ayahnya itu.
"Doktor terpaksa menggunakan drip bagi memasukkan air ke dalam badan ayah selepas dia tidak mahu makan sejak tiga hari lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Jamali Shadat kini uzur, kerap diamkan diri
"Alhamdulillah, keadaan ayah semakin pulih kini dan dia juga sudah ada sedikit selera makan semalam (Ahad)," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan daripada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) di rumahnya pada Isnin.
Sementara itu, Fauzi berkata, sejak pemergian ibunya, Lela Yacob yang meninggal dunia akibat serangan angin ahmar pada Jun 2018, keadaan kesihatan ayahnya itu mula merosot, malah dia juga tidak lagi seceria dahulu.
Selain itu, katanya, Jamali juga seolah-olah seperti hilang semangat dan lebih banyak termenung seorang diri.
"Sejak emak meninggal, ayah tak banyak cakap. Sekitar tahun 2019, pertuturan dia mula tidak jelas seperti biasa," katanya.
Dalam pada itu, Fauzi mamaklumkan bahawa Jamali yang popular dengan karekter ‘Atan’ itu tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit kronik dan hanya mengidap darah tinggi serta kencing manis yang terkawal.
Malah, anak keenam daripada lapan cahaya mata itu berkata, sehingga kini, ayahnya masih melakukan pemeriksaan rutin setiap tiga bulan di sebuah klinik swasta sekitar Pulau Indah.
"Alhamdulillah, sebelum ini, banyak pihak tampil membantu terdiri daripada persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) selepas mereka mengetahui mengenai keadaan ayah," katanya.
Mana-mana pihak yang ingin menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Fauzi di talian 013-313 5683 atau menerusi akaun 220701117814 (Bank Rakyat) atas nama Jamalai Shadat.