KITA memerlukan kontak sosial sangat rapat dan erat dalam mendepani kehidupan serba mencabar ini iaitu sokongan sosial.
Sokongan sosial membawa maksud bantuan diterima dalam pelbagai bentuk rangsangan termasuk emosi, reaksi, buah fikiran, kebendaan atau maklumat.
Sokongan sosial dikaji dalam pelbagai bidang termasuk psikologi, perubatan, sosiologi, kesihatan awam, pendidikan, pemulihan dan kerja sosial.
Contoh mudah jika kita sedih, kita perlukan seseorang untuk berkongsi rasa. Jika kita berdepan masalah, kita harapkan seseorang bersedia beri bantuan.
Jika kita beri pandangan, kita yakin akan ada yang menyokong dan mengiakan.
Namun, senario itu sedikit sebanyak mungkin membuatkan kita rasa niat baik seseorang individu sahaja tidak mencukupi.
Kita perlukan lebih ramai penyokong yang menyokong dan memberi sokongan. Dalam kehidupan seharian, kita bertemu pelbagai perkara berkaitan sokongan sosial.
Di media sosial misalnya, netizen sebagai keyboard warrior merupakan golongan paling cepat dan cekap beri sokongan.
Meskipun pandangan yang disuarakan tidak bersandarkan fakta dan kebenaran malah lebih kepada provokasi, namun mereka mendapat sokongan padu rakan-rakan netizen meskipun saling tidak mengenali.
Jika melihat situasi dalam kalangan ahli-ahli politik pula, acap kali kita dengar YB ini atau YB itu mengaku mendapat sokongan majoriti untuk tidak lagi mempercayai pemimpin sedia ada dan mahu membentuk kerajaan yang baharu.
Sokongan sosial yang kuat dalam kalangan ahli politik ternyata terbukti apabila kerajaan mampu berubah tampuk pemerintahan sekelip mata. Kerajaan Perak boleh jadi contoh terdekat, inilah kuasa sokongan sosial!
Memetik tulisan Urte Scholz dari University of Zurich & Gertraud (Turu) Stadler, University of Averdeen, terdapat dua jenis sokongan sosial iaitu sokongan yang kita jangkakan pada masa hadapan atau sokongan yang kita sebenarnya peroleh pada masa lalu.
Dalam hal ini, kita boleh berfikir dan menjangkakan sokongan yang ingin diterima daripada orang lain untuk situasi yang tertekan pada masa hadapan. Contoh paling mudah, isu berkaitan pendidikan dan pembelajaran anak-anak yang akan bermula esok.
Di media sosial sudah mula berbunyi resah gelisah ibu bapa terhadap masa depan anak-anak yang akan melalui konsep Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula esok.
Apabila seseorang mengaitkan tentang satu masalah, maka berbondong-bondonglah mereka yang lain sahut-menyahut menyatakan sokongan.
Namun, menyedihkan apabila sokongan itu tidak berasaskan fakta, bersifat dangkal dan penuh dengan cemuhan atau kritikan.
Sokongan sosial dalam kes di atas lebih kepada pandangan pesimistik individu terhadap masa hadapan berbanding transaksi sokongan sebenar. Sepatutnya cabaran, dugaan dan usaha yang akan ditempuhi guru dalam memberi ilmu kepada anak-anak pada saat getir ini dapat sokongan positif daripada ibu bapa.
Sabtu lalu, satu kempen yang dinamakan Sinar Untuk Malaysia #KarakterNilaiMoralBangsa digerakkan dan berjaya mendapat respon positif dan sokongan padu daripada pelbagai pihak.
Gerakan massa oleh Sinar Harian dengan mewujudkan Sinar Rasuah Busters itu bertujuan sebagai pembuka laluan bagi mengajak rakyat bangkit membanteras rasuah.
Idea gerakan memulihkan moral bangsa itu dicetuskan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dengan melihat kereputan sistem nilai, integriti dan bad governance dalam negara ketika ini.
Sokongan sosial seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit amat diperlukan bagi merealisasikan gerakan ini bagi merealisasikan sebuah negara yang bersih tanpa rasuah.
Kesimpulannya, sokongan sosial perlu datang dalam diri kita secara ilmiah dan jujur.
Kita - sama ada keyboard warrior, ibu bapa atau siapa sahaja perlu optimis dalam memberikan sokongan jika mahu melihat kebaikan di sebalik perubahan. Cukup-cukuplah mengkritik!
* Najwa Mohd Ghazali ialah Editor Pengurusan Content Commercial Sinar Harian