Ganding bahu perangi wabak Covid-19: Raja Muda Perlis

Iklan
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

KANGAR - Rakyat perlu berganding bahu memerangi wabak Covid-19 serta menghargai jasa petugas barisan hadapan kerana pengorbanan mereka tidak mampu untuk dibalas, titah Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, usaha memerangi Covid-19 adalah tanggungjawab bersama.

Iklan
Iklan

"Kita semua sedar dan maklum bahawa bukan sesuatu perkara mudah untuk petugas barisan hadapan mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang pastinya menyiksakan.

"Ia perlu dipakai selama berjam-jam, dengan keadaan yang panas, melekit, berpeluh dan tidak selesa sama sekali, tetapi semua ini dilakukan demi keselamatan diri dan masyarakat,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada Selasa.

Iklan

Tuanku Syed Faizuddin bertitah penularan Covid-19 turut menyaksikan pelbagai kesan terhadap kesihatan, keselamatan, ekonomi, pendidikan, bahkan mengubah kebiasaan aktiviti dalam kehidupan.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, sebagai agensi yang diamanahkan mentadbir dan mengurus pentadbiran hal ehwal Islam di Perlis, MAIPs terus berusaha melaksanakan ikhtiar terbaik dalam menyempurnakan segala perkhidmatannya.

Iklan

"Sebagai contoh, melalui MAIPs, di atas limpah perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, negeri ini telah mengambil langkah awal menangguhkan solat Jumaat pada 13 Mac 2020 dalam usaha menyekat penularan virus Covid-19 walaupun menimbulkan kontroversi namun akhirnya langkah berkenaan turut dilaksanakan oleh seluruh dunia,” titah baginda. - Bernama