KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Sabah terus meningkat dan di Sarawak kekal dengan bilangan malam tadi manakala di Pahang pula terus menurun, pagi ini.
Di Sabah, mangsa banjir meningkat kepada 895 orang daripada 258 keluarga setakat 8 pagi Selasa berbanding 836 orang daripada 237 keluarga malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di 16 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di sembilan daerah.
Daerah terbabit ialah Kota Belud dengan seramai 264 orang ditempatkan di empat PPS, Beaufort (142); Tuaran (106); Kota Kinabalu (101); Tenom (75); Penampang (69); Putatan (49); Paitan (48); dan Papar (41).
Menurut kenyataan itu, satu PPS yang dibuka di Tuaran iaitu Masjid Kampung Bunga Tenghilan ditutup petang semalam berikutan keadaan banjir di kawasan itu pulih sepenuhnya dan mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Secara keseluruhannya, sebanyak 230 kampung terjejas dan trend pemindahan mangsa banjir meningkat, selain hujan masih turun pagi ini termasuk di Kota Belud dan Beaufort, dengan amaran cuaca buruk dan waspada di beberapa daerah di Sabah, menurut kenyataan itu.
Di Sarawak, PPS di daerah Serian, masih lagi beroperasi sehingga 8 pagi ini bagi menempatkan 325 mangsa banjir.
Mangsa banjir yang masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh itu menjadi satu-satunya pusat yang masih lagi dibuka setelah keadaan bencana di negeri itu semakin pulih.
Enam daerah di Sarawak mula dilanda banjir Rabu lepas berikutan keadaan hujan lebat dan fenomena air pasang besar yang berlaku serentak, sebelum keadaan mula reda pada Jumaat.
Di Pahang, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan hanya tiga daerah masih terjejas banjir dengan jumlah mangsa yang berada di PPS semakin berkurangan.
Kuantan mencatatkan bilangan mangsa paling ramai pagi ini iaitu 380 orang di dua PPS diikuti Pekan (298 orang, empat PPS) dan Maran (22 orang, dua PPS).
Portal infobanjir.water.gov.my pula melaporkan semua paras sungai di Pahang adalah normal melainkan Sungai Jelai di Lipis melebihi paras bahaya dan Sungai Pahang di Serambi, Pekan yang berada di paras amaran. - Bernama