Atendan klinik tak mengaku amang seksual dua anak kandung

Iklan
Seorang lelaki didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berumur 6 dan 9 tahun pada April tahun lalu.

IPOH - Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua anak perempuan kandungnya di Sitiawan tahun lalu.

Lelaki berusia 42 tahun itu yang bekerja sebagai atendan di sebuah klinik kerajaan, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual ke atas anak perempuannya yang berumur enam tahun ketika kejadian, pada kira-kira 2.30 pagi, 10 April 2020 di sebuah rumah di Sitiawan dalam daerah Manjung.

Dia juga didakwa melakukan perkara sama ke atas seorang lagi anak perempuannya yang berusia sembilan tahun ketika kejadian pada April tahun lalu, antara 9 hingga 12 tengah malam di rumah sama.

Iklan

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta menjalani pengawasan polis hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Asri Othman.

Iklan

Terdahulu, Mohd Waffy memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan namun Mohd Asri merayu jumlah itu dikurangkan kepada RM5,000 atas faktor pendapatan tertuduh sebagai penjawat awam.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin selain memerintahkan lelaki itu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan sehingga kes selesai, dan diberi amaran agar tidak berkomunikasi dengan mangsa.

Mahkamah menetapkan 25 Februari ini untuk sebutan semula.

Kes dikendalikan Mahkamah Sesyen Ipoh kerana tiada Mahkamah Sesyen di Manjung. - Bernama